Kos haji meningkat atau tidak diketahui Januari ini

Idris (dua dari kanan) pada program Inspirasiku Dana Inspirasi Malaysia dan Program Inspirasi Prihatin YaPEIM di Dewan Masjid Al-Jawaher, Mutiara Rini, Johor Bahru pada Rabu.
Idris (dua dari kanan) pada program Inspirasiku Dana Inspirasi Malaysia dan Program Inspirasi Prihatin YaPEIM di Dewan Masjid Al-Jawaher, Mutiara Rini, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan sama ada kos bagi mengerjakan ibadah haji pada tahun depan meningkat atau kekal akan diketahui selewat-lewatnya Januari depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, Lembaga Tabung Haji akan memberi taklimat berhubung kenaikan kos tersebut pada minggu depan.

"Selepas taklimat itu diberikan, saya akan membawa perkara ini untuk dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri selepas diputuskan kabinet selewat-lewatnya pada Januari depan.

"Saya tidak boleh cakap sama ada kos naik atau turun. Perkara ini perlukan perbincangan kerana kalau dilihat kos umrah meningkat RM2,000, padahal tempoh mengerjakan umrah hanya 10 hari.

"Tetapi dalam masa sama, kerajaan mahu menjaga kebajikan bakal jemaah dan kepentingan pendeposit," katanya pada program Inspirasiku Dana Inspirasi Malaysia dan Program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Dewan Masjid Al-Jawaher, Mutiara Rini di sini pada Rabu.

Menurut Idris, kerajaan akan bertindak realistik berhubung cadangan subsidi haji diperuntukkan secara bersasar dan bukan secara umum seperti yang dilaksanakan sekarang.

"Cadangan itu perlu dibincangkan bersama Tabung Haji kerana selain menjaga kepentingan pendeposit perlu juga menjaga kebajikan golongan B40 yang mahu mengerjakan haji.

"Kedua-duanya kerajaan hendak jaga dan tidak mahu tindakan berat sebelah. Kerajaan juga tidak mahu hanya mengisytiharkan tindakan populis semata-mata kerana kita perlu realistik.

Artikel Berkaitan:

"Setiap tahun Tabung Haji membuka peluang kepada mana-mana jemaah haji yang tidak mahu mengambil subsidi kos haji, namun tidak ramai yang menyahut peluang itu," ujarnya.

Sabtu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dilaporkan berkata, kos mengerjakan haji dijangka meningkat kepada lebih RM30,000 iaitu peningkatan sehingga 50 peratus berbanding sebelum ini RM23,000.

Beliau berkata, peningkatan itu disebabkan Cukai Nilai Tambah (VAT) diperkenalkan kerajaan Arab Saudi yang naik 15 peratus berbanding lima peratus sebelumnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!