Kebajikan rakyat satu aspirasi

No Image Caption
A
A
A

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) menerusi Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keluarga Malaysia yang menggariskan tiga teras utama iaitu Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan (common ground) dan Kesyukuran (contentment), bukan sahaja bersifat inklusif, malah begitu dekat di hati rakyat kerana merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Konsep ini membawa objektif untuk memulihkan negara, mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi selepas negara menerima pelbagai impak negatif akibat Covid-19.

Melalui konsep ini, Ismail Sabri turut menekankan kepentingan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari yang menetapkan 31 menteri melibatkan 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri membuktikan pencapaian prestasi masing-masing dalam tempoh 100 hari pertama selepas dilantik dalam Jemaah Menteri.

AKM merangkumi penstrukturan semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara, meningkatkan kesejahteraan social, mempertingkat infrastruktur menyeluruh, memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.

Pelaksanaan BKM pula, secara tidak langsung membuktikan kerajaan optimis meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai asas utama dalam menjaga sebuah keluarga.

Tengku Zafrul sewaktu pembentangan Bajet 2022 memaklumkan bahawa BKM akan memberi fokus terhadap kumpulan yang benar-benar terkesan agar dapat membantu mereka untuk bangkit meneruskan kehidupan terutamanya dalam era endemic dengan peruntukan terbesar berjumlah RM332 bilion.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

BKM menerusi Bajet 2022 dengan peruntukan RM8.2 bilion, bakal memanfaatkan 9.6 juta penerima membabitkan isi rumah mempunyai tiga anak dan lebih, selain bujang dengan purata pendapatan bulanan di bawah RM2,500 sebulan.

Menerusi bantuan tersebut, isi rumah dengan pendapatan RM2,500 atau kurang dan memiliki lebih tiga orang anak akan menerima bantuan sebanyak RM2,000 secara 'one-off'.

Kerajaan juga akan memberi peruntukan sebanyak RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan manakala warga emas isi rumah dan yang tiada pasangan bakal menerima bantuan masing-masing RM300 dan RM600, selain bujang dengan pendapatan RM2,500 atau kurang akan menerima RM350.

Sementara itu, syarat kelayakan kebajikan untuk empat kategori bantuan Jabatan Kebajikan utama dinaikkan daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan berjumlah RM980 pada 2016 kepada RM1,169 pada 2019.

Kategori tersebut membabitkan bantuan untuk kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) tidak bekerja dan bantuan am persekutuan. Peningkatan syarat kelayakan ini melibatkan tambahan RM200 juta kepada RM2.4 bilion.

Yayasan Keluarga Malaysia sebanyak RM25 juta ditubuhkan oleh Jabatan Perdana Menteri bagi melindungi kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim piatu akibat Covid-19 di mana dana permulaan tersebut akan dipadankan dengan sumbangan sektor korporat.

Kerajaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) turut menyediakan sebanyak 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.

Ia merangkumi Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) dan program latihan serta peningkatan kemahiran.

Insentif Penggajian JaminKerja oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal memberi manfaat kepada seramai 300,000 pencari kerja dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion.

Selain itu, MySTEP turut menawarkan 80,000 penempatan pekerjaan dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion membabitkan 50,000 di sektor awam, manakala 30,000 di GLC.

Keperluan

No Image Caption

Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan, peruntukan yang meningkat berbanding Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini menunjukkan sepanjang pandemik tahun ini, masih ramai individu dan isi rumah yang terkesan serta memerlukan bantuan tunai secara langsung.

“Dengan peningkatan jumlah rakyat yang terkesan ini, saya melihat BKM wajar diberikan kepada rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Masih ramai lagi isi rumah dan individu lain yang belum pulih sepenuhnya serta mengambil masa untuk kembali seperti sedia kala. Bantuan seperti ini sebenarnya amat membantu untuk mereka bangkit dengan lebih cepat,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau turut berpendapat, bantuan fiskal secara langsung sangat penting dan perlu menjadi keutamaan dalam setiap pembentangan bajet oleh kerajaan.

“Kita tidak boleh menganggap semua orang mampu kembali pulih dengan cepat atau mendapat pekerjaan dengan gaji yang tinggi. Tidak semua mampu begitu.

“Dalam konteks ini, kita kena terima hakikat setiap orang ada keperluan dan masalah tersendiri. Bagaimanapun, perkara paling asas yang diperlukan rakyat sekarang ialah aliran tunai secara langsung.

“Meskipun kita sedar bahawa bantuan tunai secara langsung ini bukanlah menjadi satu kemestian, tetapi bagi sesetengah golongan bantuan itu boleh menyelesaikan masalah mereka serta-merta dan ia amat diperlukan,” ujar Ahmed Razman.

SENARAI BANTUAN DAN SUBSIDI 2021 (sebaik sahaja AKM diperkenalkan)

No Image Caption

- Pemberian baucar makanan percuma melalui Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia kepada pelajar B40 secara bersasar.

- Pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui Program VACC2CAMPUS.
- Pembekalan saringan kit ujian pantas (RTK) kepada pelajar IPT melalui Program RTK@CAMPUS
- Peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui Program GETHIRED@KPT.
- Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (Rumah Ikram Keluarga Malaysia)
- Skuad Keluarga Malaysia
- Pakej Peranti Keluarga Malaysia
- Pakej Remaja Keluarga Malaysia
- Keluarga Malaysia Siaga Bencana
- Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia
- Residensi Rumah Keluarga Malaysia

No Image Caption

SENARAI BANTUAN DAN SUBSIDI 2022

BANTUAN KELUARGA MALAYSIA

Jumlah peruntukan: RM8.2 bilion

Penerima manfaat: 9.6 juta orang

- RM2,000: Isi rumah dengan tiga anak atau lebih (pendapatan kurang RM2,500 sebulan)

- RM500: Ibu, bapa tunggal dengan tanggungan (pendapatan RM2,501 - RM5,000 sebulan)

- RM300: Isi rumah warga emas

- RM350: Bujang dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan

PEKERJAAN

i. Inisiatif JaminKerja

- Peruntukan RM4.8 bilion

- 600,000 peluang pekerjaan

ii. MySTEP

- RM1.8 bilion

- 80,000 peluang pekerjaan (sektor awam - 50,000) dan (GLC - 30,000)

KESIHATAN

- Peruntukan Kementerian Kesihatan (RM32.4 bilion)

- Tambahan peruntukan khusus tangani Covid-19 (RM2 bilion)

PENDIDIKAN

- RM400 juta: Rancangan Makanan Tambahan dan bekalan susu harian

- RM450 juta: PerantiSiswa Keluarga Malaysia

PELANCONGAN

- RM600 juta: Program Subsidi Upah bersasar kepada pemain industri pelancongan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!