Omicron: Kerajaan tangguh VTL dengan negara berisiko tinggi
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan perancangan mewujudkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) dengan negara yang dikenalpasti melaporkan penularan Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah tersebut dibuat sehingga gambaran penularan Omicron lebih jelas diperoleh di peringkat global.
"Bagi VTL Udara Malaysia-Singapura, pengembara yang menyertainya digalakkan untuk melakukan ujian pengesanan Covid-19 kendiri pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan," katanya pada sidang media perkembangan semasa varian baharu Omicron (B.1.1.529) dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan di Malaysia di kementeriannya di sini pada Rabu
Menurut beliau, penggunaan sistem 'autogate' Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di pintu masuk antarabangsa dihentikan sementara berkuat kuasa serta-merta.
"Ini bagi membolehkan Imigresen menyoal siasat sejarah perjalanan pengembara yang tiba di negara ini," katanya.
Beliau berkata, penerbangan yang membawa penumpang dari negara melaporkan penularan Omicron atau negara berisiko tinggi hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja.
"Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) perlu menyediakan “gate” khas bagi penerbangan tersebut," katanya.
Khairy berkata, syarikat penerbangan bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara yang melaporkan penularan Omicron atau negara berisiko tinggi yang menaiki penerbangan mereka.
"Maklumat pengembara tersebut mestilah dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan KLIA untuk memudahkan pengendalian ketibaan pengembara berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!