Warga emas, individu komorbid dinasihat tangguh ke luar negara
PUTRAJAYA - Berikutan penularan jangkitan varian Omicron, warga emas dan individu yang mempunyai komorbid dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke luar negara.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, golongan tersebut juga disaran mengelak daripada menghadiri tempat sesak.
"Jika ke luar negara, sila berhati-hati dengan meneruskan prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan di negara ini," katanya.
Menurutnya, kealpaan dalam mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakkan fizikal, mengelakkan tempat-tempat yang sesak dan mengasingkan diri apabila bergejala, hanya akan memberi peluang untuk Covid-19 bermutasi serta lebih mudah dijangkiti.
"Akibat kealpaan, kita mungkin jadi mangsa," katanya ketika sidang akhbar perkembangan varian Omicron di kementeriannya, pada Rabu.
Beliau berkata, dalam pada itu orang ramai disaran tidak mengambil mudah mengenai keperluan dos penggalak.
"Sekiranya anda telah layak untuk menerima dos penggalak dan telah diberikan janji temu, sila penuhi janji temu tersebut dan ambillah dos penggalak.
"Dengan kewujudan Omicron, KKM sangat menggalakkan pengambilan dos penggalak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!