KDN terima laporan wujud kartel dalam Jabatan Imigresen

Hamzah (dua dari kiri) melawat ruang pameran pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2021 di Auditorium Kompleks D pada Rabu. - Bernama
Hamzah (dua dari kiri) melawat ruang pameran pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2021 di Auditorium Kompleks D pada Rabu. - Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan ada menerima laporan berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam Jabatan Imigresen Malaysia membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pembabitan kartel itu bukan sahaja berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan itu malah kartel itu juga dikatakan menggunakan pegawai imigresen untuk kepentingan mereka.

Menurutnya, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin ada memaklumkan di Sabah terdapat iklan yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk sebarang urusan imigresen.

"Siasatan akan dibuat secara telus untuk kenal pasti pegawai yang terbabit dengan kartel dan kalau betul ada, kita akan ambil tindakan terhadap mereka yang salah guna kuasa," katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen Tahun 2021 di sini pada Rabu.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Hamzah sebelum itu berkata, ada kartel dengan pembabitan pegawai dalaman membolehkan anggota kartel bebas keluar masuk pejabat jabatan itu termasuk di pintu-pintu masuk negara termasuk di lapangan terbang.

Beliau berkata, kewujudan kartel dalam perkhidmatan imigresen mencalar reputasi jabatan itu yang sentiasa mendapat ranking terbaik dalam perkhidmatan imigresen di lapangan terbang peringkat antarabangsa, di mana pada tahun ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapat tempat keempat dalam World’s Best Airport Immigration Service 2021, oleh Skytrax.

"Kalau kita tekan saja Google, isu imigresen Malaysia, paling utama adalah kes-kes korup dan integriti. Ini adalah sesuatu yang saya minta kepada semua untuk elak perkara ini terus berlaku dan memahami bahawa tanggungjawab kita adalah mempertahankan negara.

"Kalau mereka (kartel) mudah masuk, kalau kita boleh jual apa saja yang ada pada kita dengan mudahnya, maka kita tak jaga kedaulatan negara kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hamzah berkata, penggunaan teknologi tinggi dan aset canggih seperti data raya, digitalisasi, robotik, analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Internet Kebendaan (IoT) an Kecerdasan buatan (AI) dapat mengurangkan kewujudan kartel atau sindiket yang boleh merosakkan imej imigresen kerana ia dapat mengurangkan urusan yang memerlukan perhubungan terus antara pegawai dan pelanggan imigresen. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!