Individu Islam tidak boleh jadi pihak pertikaian perkahwinan bukan Islam

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1, memutuskan individu beragama Islam tidak boleh dinamakan sebagai pihak dalam pertikaian perkahwinan yang melibatkan pasangan suami isteri bukan Islam di Mahkamah Sivil.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika menyampaikan keputusan majoriti panel tiga hakim berkata, Seksyen 3(3) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA) dengan jelas memperuntukkan bahawa umat Islam dikecualikan daripada permohonan LRA.

Bagaimanapun, Hakim Tengku Maimun berkata, undang-undang itu terpakai terhadap mualaf Islam dalam kes melibatkan pasangan bukan Islamnya memfailkan petisyen selepas bekas pasangan memeluk Islam iaitu selepas perkahwinan sivil mereka.

Beliau berkata, tujuan LRA itu bukan sahaja untuk mengawal perkahwinan dan perceraian orang bukan Islam, malah ia juga sebagai pemisah undang-undang berasingan bagi orang Islam dan bukan Islam di negara ini.

“Ini adalah berdasarkan Perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan mengenai prinsip pemisahan bidang kuasa di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Keputusan majoriti itu yang disokong Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, mahkamah menolak rayuan yang dikemukakan oleh seorang wanita yang identitinya tidak didedahkan.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan yang turut sama bersidang, membuat penghakiman menentang.

Kes pada Rabu berkaitan rayuan oleh seorang wanita berhubung permohonan undang-undangnya untuk memasukkan seorang wanita sebagai responden bersama dalam petisyen perceraian yang difailkan pada Julai tahun lepas di Mahkamah Tinggi terhadap suaminya, mendakwa perkahwinannya musnah selepas suaminya membuat hubungan sulit dengan wanita Islam itu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa individu Islam boleh dinamakan sebagai responden bersama dalam petisyen perceraian dan bukannya dalam perpisahan kehakiman dan oleh itu mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengecam responden bersama bagi ganti rugi di bawah Seksyen 58 LRA.

Dalam perceraian, kontrak perkahwinan dibatalkan manakala dalam kes perpisahan kehakiman, perkahwinan itu terus kekal tetapi pasangan dibenar untuk tinggal berasingan.

Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan wanita Islam itu memutuskan undang-undang tersebut tidak terpakai kepada orang Islam.

Sementara itu, dalam penghakiman menentang, Hakim Nallini berkata, Seksyen 3(3) LRA tidak menghalang seorang Muslim dinamakan sebagai responden bersama atas dakwaan berzina untuk petisyen perpisahan kehakiman.

Beliau berkata, mahkamah diberi kuasa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Tafsiran 1997 untuk melihat kepada niat dan tujuan perundangan apabila mentafsir peruntukan.

Menurutnya, pendekatan kontekstual dan tujuan perlu diguna pakai dalam mentafsir frasa ‘tidak terpakai kepada orang Islam’ mengikut Seksyen 3(3) LRA. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!