Najib tidak sertai perbincangan projek HSR di Singapura: Ka Siong

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berhujah pada Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berhujah pada Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri perbincangan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, baru-baru ini.

Ka Siong sebaliknya berkata, perbincangan itu hanya disertai Ismail Sabri bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan beliau sendiri.

“Saya ikuti rombongan Perdana Menteri ke Singapura baru-baru ini dan saya pun hairan Yang Berhormat kata ada orang lain (Najib turut serta). Tapi yang ada hanya empat orang.

“Saya berada di situ pada jam 11.30 pagi sampai habis pukul 3 petang. Kami empat menteri (Ismail Sabri, Mohamed Azmin, Saifuddin dan beliau) sahaja. Jadi saya tidak tahu mana datangnya Yang Berhormat kata ada orang lain kerana cuma empat orang menteri dan ada beberapa pegawai kanan dari MOT serta Kementerian Luar dan Wisma Putra,” katanya di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa mewakili kementeriannya bagi menjawab persoalan berhubung kehadiran Najib dalam perbincangan berkenaan yang dibangkitkan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan Ka Siong, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mencelah dengan mengatakan beliau yang bertanyakan soalan tersebut.

“Saya telah tanya sama ada Yang Berhormat Pekan (Najib) dibawa bersama dalam perbincangan tersebut kerana ada gambar yang tular di media sosial,” katanya.

Ka Siong sekali lagi menafikan perkara itu dan mengulangi bahawa hanya empat pemimpin dari Malaysia yang turut serta dalam perbincangan tersebut seperti yang dinyatakan dalam maklum balas awal kepada persoalan dibangkitkan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!