Arab Saudi, Nigeria rekod kes pertama Omicron
RIYADH - Arab Saudi merekodkan kes pertama varian Omicron melibatkan seorang rakyat negara itu yang kembali dari Afrika Utara, menurut Kementerian Kesihatan pada Rabu.
"Individu tersebut bersama kontak rapatnya telah diasingkan selain langkah kesihatan yang diperlukan turut diambil," lapor SPA memetik kenyataan kementerian itu.
Pada minggu lalu, Riyadh antara negara antarabangsa yang mengambil langkah segera mengenakan sekatan terhadap penerbangan dari tujuh negara Afrika, namun laluan perjalanan dengan Afrika Utara masih dikekalkan.
Nigeria yang merupakan negara berpopulasi paling padat di Afrika juga mengesahkan kes pertama varian Omicron melibatkan tiga individu yang tiba dari Afrika Selatan.
"Pemantauan genomik telah mengesan varian B.1.1.529 tersebut. Susulan itu, pengesanan kontak rapat untuk memastikan langkah pengasingan telah dilakukan," kata Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Abuja, Ifedayo Adetifa.
Negara Afrika Barat yang mempunyai 210 juta penduduk itu telah melancarkan kempen vaksinasi selain menetapkan peraturan kepada penjawat awam untuk menunjukkan sijil imunisasi jika mahu memasuki bangunan kerajaan.
Tetapi, kadar inokulasi di negara itu masih rendah dengan lebih 6.5 juta penduduk telah diberikan suntikan dos pertama manakala kira-kira 3.5 juta lagi sudah menerima dos lengkap.
Sebagai menghadapi ancaman varian baharu yang semakin meningkat, pemerintah memaklumkan ia merancang untuk memvaksin 112 juta atau 70 peratus penduduk dewasa menjelang akhir tahun 2022. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!