AFL perhebat usaha anjur Liga M3 2022
LIGA Bolasepak Amatur (AFL) optimis saingan divisyen ketiga Liga Malaysia (Liga-M), Liga M3, boleh berjalan lancar tahun depan selepas penganjuran bagi 2020 dan 2021 terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya sedang giat melakukan persiapan untuk menganjurkan saingan itu yang dijangka berlangsung pertengahan Februari hingga September tahun depan, termasuk mencari penajaan.
Beliau berkata, kos penganjuran Liga M3 dan M5 2022 dijangka mencecah RM2 juta, dengan setakat ini pihaknya berjaya mendapatkan penajaan daripada syarikat minuman bertenaga Extra Joss terdiri daripada wang tunai RM300,000 dan royalti jualan produk, selain tajaan daripada syarikat barangan sukan berasal dari Sepanyol, Kelme.
“Kita ada beberapa penaja yang sedang berbincang dengan kita yang sudah capai 70 hingga 80 peratus persetujuan, harap sebelum akhir tahun ini dapat dimuktamad, dah boleh nampak AFL akan ada penaja yang cukup untuk menjalankan Liga M3 ini. Penaja datang dengan pelbagai pendekatan.
“Ada yang memberi sumbangan kewangan untuk mempromosi barang mereka, ada yang beri barang mereka untuk kita sama-sama jalankan perniagaan dan ada yang menaja dalam bentuk barangan. Dengan adanya royalti daripada jualan produk menerusi AFL, kami dan pihak kelab juga sama-sama dapat menjana pendapatan,” katanya pada sidang media di Wisma FAM pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata hanya 15 daripada 20 kelab yang didaftarkan lulus semula untuk beraksi pada saingan Liga M3 pada musim depan, selepas pihaknya meneliti dokumen berkaitan, terutama dari segi kewangan bagi memastikan pasukan mempunyai daya saing untuk beraksi.
Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata keutamaan akan diberi kepada pasukan sedia ada sebelum pendaftaran dibuka kepada pasukan lain dan sekiranya tidak dapat mencari kelab yang mampu bersaing susulan pandemik, pihaknya akan meneruskan liga dengan pasukan yang ada.
Menurutnya, Liga M4 pula hanya akan membuka tirai pada 2023 kerana saingan divisyen keempat itu akan dibentuk daripada pasukan yang turun dari Liga M3 dan naik dari Liga M5 tahun depan.
Mohd Yusoff turut mengesahkan bahawa kenaikan ke Liga Premier dari Liga M3 yang dikenali sebagai Liga FAM sebelum dijenamakan semula pada 2019, akan berjalan seperti biasa bermula musim 2023.
Mengikut format asal, dua pasukan tercorot Liga Premier akan turun ke divisyen ketiga, manakala dua pasukan teratas dari divisyen tiga akan naik ke Liga Premier, namun bagi musim 2020 dan 2021, tiada kenaikan selepas saingan Liga M3 dibatalkan.
Turut hadir Ketua Pengguna dan Penjualan Extra Joss Asep Dasuki serta Pengarah Kelme Malaysia Choong Wai Tuck. - BERNAMA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!