Brenda intai kilauan pingat di AYPG

Brenda Anellia Larry
Brenda Anellia Larry
A
A
A

PENGALAMAN beraksi pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 September lalu membakar semangat atlet berbakat Brenda Anellia Larry untuk menghadirkan kilauan pingat buat kontinjen negara pada Sukan Belia Para Asia (AYPG) di Manama, Bahrain, yang membuka tirai pada Khamis.

Perenang berusia 16 tahun dari Sabah itu, yang juga atlet termuda negara di Paralimpik Tokyo, percaya pengalaman beraksi bersama perenang handalan dunia di Jepun telah meningkatkan keyakinannya untuk menyinar di Bahrain.

"Saya tidak sabar untuk beraksi bersama atlet sebaya di Bahrain setelah pernah beraksi dengan atlet hebat di Paralimpik Tokyo.

"Saya sudah bersedia 100 peratus untuk AYPG Bahrain. Jika boleh saya mahu menang pingat, merekodkan catatan masa lebih baik di Manama dan apa yang lebih penting, bebas daripada sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Kelibat Brenda di Bahrain dijangka mencuri tumpuan ramai, kerana beliau adalah satu-satunya atlet yang beraksi di Paralimpik Tokyo daripada keseluruhan 13 atlet kebangsaan yang menyertai AYPG kali ini.

Brenda yang beraksi dalam klasifikasi S4 (kecacatan fizikal), bakal bersaing menerusi enam acara iaitu 50 meter (m) gaya bebas, 100m gaya bebas, 50m kuak dada, 50m kuak kupu-kupu, 75m rampaian individu dan 150m rampaian individu.

Sementara itu, perseorangan badminton lelaki SH6 (kecacatan fizikal) Muhammad Amin Azmi turut tekad untuk membawa pulang pingat dalam aksi sulungnya di temasya AYPG itu.

Menjadikan nasihat idolanya Didin Taresoh sebagai azimat, pemain berusia 18 tahun itu berazam untuk melakar pencapaian membanggakan di Bahrain nanti.

Artikel Berkaitan:

“Didin pesan untuk saya bermain bersungguh-sungguh, fokus dalam latihan dan kekal berdisipilin sekiranya mahu berjaya.... Insya-Allah saya yakin dapat cabar pemain lain untuk merebut pingat di Bahrain,” kata pemain bertubuh kecil itu.

Selain renang dan badminton, kontinjen negara turut membawa cabaran menerusi acara olahraga, boccia, ping pong dan powerlifting dalam temasya yang berlangsung selama lima hari sehingga 6 Disember itu.

Malaysia telah menyertai AYPG sejak edisi pertamanya di Tokyo pada 2009 dan pernah menjadi tuan rumah pada edisi 2013. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!