‘Kami siap siaga hadapi Monsun Timur Laut’
BENCANA banjir yang melanda pada awal Januari lalu dan tahun-tahun sebelumnya perlu dijadikan iktibar untuk persiapan bagi berdepan kemungkinan bencana itu berulang kembali hujung tahun ini.
Jangkaan besar atau kecil gelombang banjir kali ini bukan perkara utama yang perlu difikirkan, sebaliknya paling penting diambil kira adalah persediaan untuk menghadapi bencana.
Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang melanda negeri-negeri pantai timur telah pun bermula dan dijangka berterusan sehingga Mac 2022 sebagaimana jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia. Dalam tempoh itu, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dan berkemungkinan berlakunya banjir.
Lebih membimbangkan jika episod hujan lebat itu berlaku serentak di seluruh negeri sebagaimana yang berlaku awal tahun ini.
Daerah Maran ketika itu yang menerima purata hujan 253 milimeter (mm) menyebabkan beberapa kawasan di daerah berkenaan berlaku banjir besar sehingga bandarnya lumpuh.
Begitu juga dengan beberapa daerah lain yang turut terjejas dalam bencana itu di mana merekodkan taburan hujan tinggi.
Cabaran lain adalah sebagaimana tahun lalu di mana banjir berlaku dalam suasana pandemik Covid-19 dan begitu juga tahun ini. Di sinilah cabaran besar yang dihadapi agensi-agensi terlibat dan mangsa dalam bencana ini apabila terpaksa berdepan risiko ancaman banjir dan penularan Covid-19 serentak tanpa kompromi.
Namun bagi penulis, mengambil kira pengalaman banjir yang lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) terbaik sebagai panduan kepada semua agensi yang terlibat semasa bencana itu.
Sebagaimana kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, SOP yang dikeluarkan mengambil kira semua aspek termasuk panduan pencegahan dan pengurusan Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS) dan operasi menyelamat.
Di Pahang misalnya, boleh dikatakan semua agensi telah bersedia sepenuhnya termasuk dalam persiapan pusat pemindahan, bantuan bekalan makanan dan keperluan mangsa banjir, operasi penyelamatan dan kemungkinan bencana lain sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Penghantaran keperluan bekalan makanan untuk 140 pangkalan hadapan seluruh negeri tahun ini sudah selesai seperti mana dijelaskan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin sebelum ini.
Pada masa sama, sebanyak 778 PPS telah dikenal pasti mampu menempatkan 163,875 mangsa pada satu-satu masa.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa juga menegaskan pihaknya sudah lebih awal bersedia dengan aspek keanggotaan dan logistik.
Persediaan
Persoalannya kini tentang persediaan orang ramai itu sendiri bagi berdepan dengan 'bencana dalam bencana' ini. Bagi mangsa yang berada di kawasan berisiko banjir berkemungkinan sudah 'arif' dengan situasi banjir sekiranya bencana itu kembali berlaku di kawasan masing-masing.
Cuma masalah yang sering berlaku adalah sikap tunggu dan lihat segelintir masyarakat yang seolah-olah liat untuk segera berpindah ke PPS dan disiplin mangsa banjir terhadap SOP Covid-19 yang ditetapkan terutama ketika di PPS.
Pengabaian kepada arahan pindah dan SOP bakal mendedahkan mangsa kepada tragedi selain mengundang berlaku penularan virus bahaya itu.
Jika dua perkara itu diabaikan, ia bukan sahaja boleh menyusahkan diri sendiri malah akan menimbulkan masalah kepada petugas dan pasukan penyelamat.
Langkah berpindah segera ke PPS penting untuk keselamatan mangsa banjir kerana gelombangnya sukar dijangka.
Dalam memperkatakan tentang persiapan ini, paling mudah adalah peka dengan perkembangan semasa banjir, segera berpindah jika diarahkan, selamatkan dan bawa bersama dokumen penting. Selamatkan diri dan keluarga dahulu, selamatkan harta benda jika sempat.
* Nik Amirulmu’Min Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!