Permintaan kargo udara global meningkat 9.4 peratus pada Oktober
PERMINTAAN global untuk kargo udara antarabangsa meningkat 9.4 peratus pada Oktober tahun ini berbanding bulan yang sama pada 2019, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dalam satu kenyataan, ia berkata, data untuk pasaran-pasaran kargo udara global menunjukkan bahawa permintaan terus melebihi paras sebelum krisis dan kekangan kapasiti telah berkurangan sedikit.
Kekangan kapasiti telah berkurangan sedikit tetapi kekal 7.2 peratus di bawah paras sebelum Covid-19 (Oktober 2019) (-8.0 peratus untuk operasi antarabangsa).
Ketua pengarah IATA, Willie Walsh berkata, data Oktober mencerminkan tinjauan positif keseluruhan untuk kargo udara kerana kesesakan rantaian bekalan terus mendorong pengeluar memanfaatkan kelajuan kargo udara.
"Permintaan meningkat 9.4 peratus pada Oktober berbanding tahap sebelum krisis. Dan kekangan kapasiti perlahan-lahan dapat diselesaikan kerana lebih banyak perjalanan penumpang bermakna lebih banyak kapasiti untuk kargo udara.
"Kesan reaksi kerajaan terhadap varian Omicron adalah satu kebimbangan. Jika ia melembapkan permintaan perjalanan, isu kapasiti akan menjadi lebih meruncing.
“Selepas hampir dua tahun Covid-19, kerajaan mempunyai pengalaman dan alat untuk membuat keputusan berpandukan data yang lebih baik daripada kebanyakan tindak balas spontan untuk menyekat perjalanan yang telah kita lihat setakat ini,” kata Walsh sambil menambah bagaimanapun, sekatan tidak akan menghentikan penyebaran Omicron.
"Selain daripada keperluan segera untuk membetulkan kesilapan dasar ini, tumpuan kerajaan harus tepat pada memastikan integriti rantaian bekalan dan meningkatkan pengedaran vaksin," tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!