Tahan azab dihempap forklift
HULU SELANGOR - Seorang wanita terpaksa menahan sakit apabila kaki kirinya dihempap jentera angkat susun (forklift) di sebuah kilang di Jalan Kemunting Bukit Beruntung, di sini pada Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.56 petang.
Menurutnya, seramai sembilan anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke tempat kejadian.
"Bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati wanita berusia 28 tahun itu berada di sebelah forklift selepas pekerja kilang berjaya mengeluarkan kaki kiri mangsa yang dihempap jentera tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Norazam berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Operasi sepenuhnya tamat pada jam 6.50 petang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!