Pendaftaran Skim SADE dilanjutkan dua tahun mulai Januari 2022

IZHAM
IZHAM
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bersetuju untuk melanjutkan pendaftaran Skim Air Darul Ehsan (SADE) selama dua tahun mulai Januari 2022.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, ia berikutan jumlah pendaftar yang rendah iaitu sebanyak 287,181 penerima setakat Oktober lalu iaitu 46 peratus daripada jumlah 620,000 yang disasarkan oleh kerajaan Selangor.

Menurutnya, penerima Skim SADE yang mendaftar e-bil adalah sebanyak 43 peratus iaitu 124,864 akaun daripada keseluruhan 287,181 akaun domestik menerima skim tersebut.

"Dulu kita buka pendaftaran pada bulan tertentu, kini kita buka untuk sepanjang tahun dan bila-bila masa.

"Disebabkan angka yang mendaftar tidak tinggi, jadi kita buat keputusan untuk melanjutkan Skim SADE mulai Januari 2022 selama dua tahun, dan membuka pendaftaran sepanjang tahun.

"Promosi akan dilakukan secara berkala, kita juga libatkan Pejabat-pejabat Khidmat Rakyat seperti yang dilakukan sebelum ini dan hebahan melalui media sosial juga akan diperluaskan," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Dalam pada itu, Izham berkata, antara galakan yang dilakukan oleh Air Selangor untuk meningkatkan pendaftaran e-bil dalam kalangan penerima SADE ialah menganjurkan program dan aktiviti penerangan bersama wakil penduduk, komuniti setempat dan wakil industri negeri Selangor.

Ujarnya, promosi pendaftaran e-bil secara aktif turut dilakukan di media sosial Air Selangor seperti Facebook dan Twitter.

Artikel Berkaitan:

"Insentif-insentif lain yang boleh melonjakkan pendaftaran e-bil sedang dikaji oleh Air Selangor," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Skim SADE merupakan program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk negeri Selangor dan tidak melibatkan bajet atau peruntukan yang dikhususkan untuk projek atau kerja-kerja pembangunan infrastruktur dalam negeri.

Izham berkata, program penjajaran itu juga dilaksanakan untuk golongan B40 yang benar-benar memerlukan selaras dengan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!