AS$2.6 bilion diperlukan untuk bantuan makanan warga Afghanistan
NEW YORK - Kira-kira 23 juta rakyat Afghanistan memerlukan bantuan segera makanan, dan AS$2.6 bilion diperlukan untuk tujuan itu pada tahun akan datang, lapor Sputnik, memetik Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan.
"Keperluan kemanusiaan di (Afghanistan) kian meningkat... dengan semua 34 wilayah menghadapi krisis atau tahap kecemasan keselamatan makanan. Akibatnya, kira-kira 23 juta rakyat Afghanistan memerlukan bantuan segera makanan, mengalami kebuluran dan mengancam nyawa akibat kekurangan zat makanan," kata agensi PBB itu pada Rabu. "WFP memerlukan AS$2.6 bilion untuk operasinya di Afghanistan pada tahun akan datang."
Kawasan terpencil di Afghanistan telah menghadapi krisis keselamatan makanan akibat masalah kemarau yang berpanjangan, kejatuhan ekonomi, konflik dan pandemik Covid-19, kata PBB.
Ia menyebabkan peningkatan 80 peratus dalam kos roti – makanan ruji bagi kebanyakan keluarga di negara ini, kata kenyataan itu.
Pengarah WFP Afghanistan, Mary-Ellen McGroarty menyeru masyarakat antarabangsa untuk memisahkan keperluan kemanusiaan daripada fahaman politik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!