'Kami tak campur PRN Sarawak'
KOTA KINABALU - Parti Warisan tidak akan campur tangan berhubung kempen dan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan berlangsung pada 18 Disember ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya tidak akan menghantar jentera untuk membantu kempen di PRN itu nanti.
"Amalan kita sejak dulu tidak campur dengan Sawarak. Kita serahkan kepada jiran Sarawak untuk tangani masalah mereka," katanya kepada Sinar Harian selepas meninjau harga barang di Pasar Besar Kota Kinabalu, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada jentera Warisan akan ke Sarawak untuk membantu kempen dalam PRN itu nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRN Sarawak ke-12 diadakan pada 18 Disember ini, manakala tarikh penamaan calon pada 6 Disember dan pengundian awal diadakan pada 14 Disember.
SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lalu berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.
Bercakap mengenai isu kenaikan harga, Mohd Shafie berharap kerajaan dapat menangani perkara itu dengan lebih komprehensif termasuk rantaian pengeluaran barangan terbabit.
"Rakyat hari ini tidak ada kerja, ramai menganggur, pendapatan rakyat menurun, perniagaan merudum, semua kedai (pemilik premis) sedang berhadapan pelbagai masalah.
"Kita hadapi keadaan ini dan perlu ditangani. Kerajaan hari ini melantik banyak menteri, gaji mereka ada tetapi rakyat tidak ada (pendapatan)," katanya kepada Sinar Harian selepas meninjau keadaan harga barang di Pasar Besar Kota Kinabalu, pada Khamis.
Mohd Shafie turut mencadangkan penguatkuasaan dan pemantauan dari segi rantaian barangan itu sendiri termasuk dalam sektor pembinaan.
Presiden Parti Warisan itu mengakui pandemik Covid-19 perlu diberi perhatian namun bukan semua rakyat dijangkiti virus itu.
"Ada masalah yang dihadapi masyarakat tetapi rakyat hari-hari perlu makan dan ini bebanan perbelanjaan. Sekarang sudah tidak 'lockdown' tetapi bagaimana mereka mendapatkan bekalan jika ada lagi yang hilang pekerjaan," katanya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, tindakan menurunkan harga barang sahaja tidak mencukupi namun ia perlu ditangani dari awal di setiap rantaian pengedaran barang terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!