Kes denggi di Pahang catat peningkatan
KUANTAN – Masalah denggi di negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak 52 peratus iaitu 248 kes dalam tempoh Januari hingga awal Mac lalu.
Timbalan pengarah Jabatan Kesihatan negeri (JKNP), Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, dalam tempoh tiga bulan itu, terdapat satu kes kematian berbanding tahun lalu.
Menurutnya, justeru semua pihak perlu memberi perhatian terhadap kebersihan dengan memberi tumpuan kepada aktiviti penguatkuasaan sebagai langkah pencegahan.
“Pihak kita telah membuat pemeriksaan terhadap 82, 982 premis seperti rumah, kedai dan kilang, 221 dikenakan kompaun bernilai RM110,500 dan sembilan kes dibawa ke mahkamah.
"Kerjasama masyarakat untuk menjaga kebersihan amat penting dalam usaha mengawal penularan kes denggi di negeri ini, " katanya pada Program Gotong-Royong Perangi Aedes dan Hari Bersama Sukarelawan Combi Peringkat negeri di Balai Raya Taman Peramu Jaya Satu.
Program berkenaan disempurnakan Pegawai Daerah Pekan Datuk Zaliza Zulkifli dan lebih 500 penduduk setempat, agensi kerajaan dan swasta serta pelajar sekolah menyertai program terbabit.
Dalam pada itu, Dr Mohamed Sapian memberitahu, masyarakat perlu memastikan agar bekas yang boleh menyebabkan air bertakung dibuang ke tempat sepatutnya dan jangan terlalu mengharapkan kepada petugas kebersihan semata-mata.
Beliau berharap masyarakat hanya perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya sepuluh minit seminggu untuk memusnahkan tempat pembiakan aedes di kediaman masing-masing.
"Saya yakin kalau ada sikap itu, masalah denggi ini dapat diatasi,” katanya.
Sementara itu Zaliza berkata, usaha mencegah penukaran kes denggi tidak seharusnya dipikul oleh pejabat kesihatan daerah sahaja sebaliknya kerjasama masyarakat amat penting.
"Setiap minggu aktiviti gotong-royong sekeluarga perlu dilakukan untuk membersih kawasan dan yang lebih utama memusnahkan tempat pembiakan aedes," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!