42 PATI menyorok dalam lori dicekup
KUALA SELANGOR - Seramai 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang menyorok dalam sebuah lori berpenutup penuh ditahan polis di tepi jalan besar Parit 3, Sungai Burong pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, semua PATI berusia lingkungan 40-an ditahan pada jam 2 pagi ketika baru sahaja mendarat dengan mengikut jalan tidak diwartakan.
"Dalam operasi ini, kami menahan 34 lelaki dan lapan wanita. Mereka dibawa menaiki sebuah lori yang disyaki berada di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun katanya, pemandu lori melarikan diri dan polis merampas kenderaan terbabit.
"Semua Pati dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!