Judi online: Remaja perempuan antara ditahan

Antara warga China yang ditahan dalam serbuan polis di Bandar Parklands petang semalam.
Antara warga China yang ditahan dalam serbuan polis di Bandar Parklands petang semalam.
A
A
A

KLANG - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dipercayai tidak bersekolah antara tiga individu yang ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam sindiket judi dalam talian awal pagi tadi.

Serbuan sekitar jam 3 pagi itu, dilakukan Unit Pencegahan Perjudian (D7A) dan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan ke atas sebuah rumah berkembar dua tingkat di Bandar Bukit Tinggi di sini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, selain remaja itu, dua lagi individu adalah wanita tempatan berusia 19 tahun dan lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun.

Menurutnya, sindiket perjudian ini didapati menggaji remaja perempuan dan suspek lelaki sebagai pekerja khidmat pelanggan bagi menarik perhatian kaki judi dalam talian.

"Berdasarkan siasatan, kegiatan sindiket ini dipercayai telah mula beroperasi sejak tujuh bulan lalu dan mensasarkan pelanggan di Malaysia dan Indonesia.

"Dalam serbuan ini, polis turut merampas satu set komputer dan kelengkapan internet serta 10 telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rohaimi berkata, sindiket ini menggunakan website perjudian bercirikan judi loteri, sport games, slot games dan table games

"Sindiket mempromosi website tersebut secara dalam talian dan ID pengguna akan diberikan kepada pelanggan untuk bermain judi. Semua transaksi pembayaran dan kemenangan melalui dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Hasil semakan dan analisa akaun website yang digunakan, jumlah wang pertaruhan yang dimasukkan dianggarkan mencecah RM300,000 sehari," katanya.

Terdahulu, pasukan yang sama melakukan serbuan satu kegiatan sindiket judi dalam talian di sebuah rumah mewah di Bandar Parklands, Klang, Selangor pada jam 5.30 petang semalam.

Remaja 17 tahun antara yang ditahan dalam serbuan di Bukit Tinggi awal pagi tadi.
Remaja 17 tahun antara yang ditahan dalam serbuan di Bukit Tinggi awal pagi tadi.

Rohaimi berkata, sindiket judi dalam talian yang berpangkalan di China itu dikesan menggunakan aplikasi WeChat untuk meraih keuntungan RM1 juta sehari melalui kegiatan di negara ini.

"Dalam serbuan itu, polis menahan lapan lelaki dan seorang wanita warga China berusia antara 20 hingga 40 tahun yang berperanan sebagai ahli sindiket judi dalam talian itu.

"Ketika ditahan mereka sedang leka bermain dan transaksi yang sedang berjalan bernilai RM1.2 juta.

"Kami turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai menjadi orang tengah bagi menguruskan makan minum serta tempat tinggal untuk warga China itu," katanya.

Rohaimi menambah, polis turut merampas 13 komputer riba, 77 telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa modem pelbagai jenama dan alatan elektronik.

"Siasatan awal pihaknya mendapati sindiket ini akan menyewa rumah mewah, namun tidak akan kekal lama dan ia bagi tempoh enam bulan hingga satu tahun sahaja.

"Difahamkan, rumah jenis Semi D ini disewa dengan harga RM3,600 sebulan dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilik rumah masih dijalankan.

"Modus operandi sindiket itu adalah menjadikan rumah berkenaan sebagai pusat panggilan bagi mengendalikan pemain judi dalam talian dari China.

"Namun, jika pemain dari mana-mana negara termasuk Malaysia yang boleh berbahasa Mandarin boleh turut bermain judi atas talian itu," katanya lagi.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!