Ops PeWA: 25 warga asing ditahan, 29 kenderaan disita
AMPANG - Seramai 29 warga asing ditahan dan 25 kenderaan disita dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) di sini pada Khamis.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, risikan di beberapa lokasi mendapati pelbagai kesalahan dilakukan oleh pemandu warga asing terutama tidak memiliki lesen memandu.
Menurut beliau, sebanyak 144 notis saman dikeluarkan dan diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.
"Dalam operasi itu, warga Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kebanyakan kenderaan yang dipandu oleh warga asing merupakan milik warga tempatan.
"Saya meminta kerjasama kepada semua pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing bagi yang tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan barangan.
"Tindakan juga boleh diambil terhadap pemilik kenderaan. Mereka juga perlu hadir ke JPJ jika kenderaan disita," katanya.
Mohd Zaki memaklumkan tindakan penguatkuasaan berterusan akan terus dilaksanakan bagi mengenal pasti pengguna jalan raya yang gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!