Bapa, anak lemas ketika pukat udang
SUNGAI PETANI - Dua beranak ditemukan lemas ketika memukat udang dalam kejadian di perairan Kota Kuala Muda berdekatan Kampung Tepi Sungai di sini pada Khamis.
Ketua Polis Kedah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa, Mohamad Ariffie A Razak, 68, dan anaknya, Zulhusni Mohamad Ariffie, 29, dari Kampung Matang Bagan di sini dikatakan keluar rumah pada jam 7 pagi bagi memukat udang di kawasan perairan berkenaan.
Menurutnya, hasil maklumat ahli keluarga memaklumkan, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 10.30 pagi Khamis, kemungkinan disebabkan Zulhusni diserang sawan dan terjatuh dari bot menyebabkan bapanya ingin membantu namun kedua-duanya dilaporkan lemas.
"Difahamkan, ahli keluarga mangsa menerima maklumat awal mengenai kejadian kira-kira jam 10.50 pagi mengatakan Zulhusni terjatuh.
"Pemeriksaan ke lokasi kejadian mendapati kedua-dua beranak itu telah dibantu oleh orang awam dan dinaikkan ke Pasar Bisik, Kota Kuala Muda.
"Bagaimanapun, mereka disahkan meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas mayat mangsa mendapati tiada kesan luka dan unsur jenayah.
Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!