Tiga ADUN Selangor gesa MAFI bantu pesawah

Dari kanan: Rozana, Suee Lim dan Ahmad Mustain ketika sidang akhbar di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada Khamis.
Dari kanan: Rozana, Suee Lim dan Ahmad Mustain ketika sidang akhbar di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi bantuan sebanyak RM2,000 secara 'one off' kepada para pesawah di kawasan jelapang padi di Selangor.

ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, ia berikutan lebih 10,000 pesawah di tiga kawasan jelapang padi di negeri ini mengalami kerugian berikutan hasil tuaian merosot hampir 50 peratus iaitu daripada 10 tan kepada lima tan semusim.

Suee Lim berkata, beliau bersama ADUN Sabak Bernam, Ahmad Mustain Othman dan ADUN Permatang, Rozana Zainal percaya antara punca kemerosotan hasil tuaian padi adalah kerana bekalan benih padi tidak berkualiti yang disediakan MAFI dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Selain itu, katanya, cuaca dan amalan penanaman yang tidak komprehensif juga menyumbang kepada penurunan hasil tuaian padi pada musim ini.

"Petani dan pesawah kini berada dalam keadaan terdesak. Mereka menyuarakan bahawa harga input pertanian seperti baja naik lebih 100 peratus dan meningkatkan harga kos.

"Gred mutu padi dan potongan harga beras basah sebanyak lebih 20 peratus juga membebankan pesawah sehingga ia menjejaskan pendapatan mereka dan tidak mampu membayar sewa dan pinjaman.

"Saya bersama ADUN Sabak Bernam dan Permatang memohon jasa baik MAFI mempertimbangkan bantuan kecemasan secara 'one-off' sebanyak RM2,000 kepada pesawah untuk meringankan beban mereka," katanya ketika sidang akhbar bersama dua ADUN terbabit di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini pada Khamis.

Suee Lim berkata, beliau dan dua ADUN tersebut turut menggesa MAFI mengembalikan kadar potongan beras basah kepada 17 peratus seperti yang pernah dituntut oleh petani sekian lama.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, menyalurkan wang subsidi secara terus kepada para pesawah supaya mereka bebas membeli benih padi.

Menurutnya, terdapat pesawah yang didakwa terpaksa menanam sayur-sayuran dalam diam bagi menampung hasil tuaian padi yang tidak menjadi.

"Kawasan jelapang padi hanya boleh ditanam padi sahaja. Kawasan Sabak Bernam lebih teruk, hasil tuaian cuma di bawah lima tan semusim. Malah ada yang tiada hasil langsung.

"Nak bayar upah jentera penuai pun tidak cukup. Pesawah hampa kerana tiada hasil," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!