LTA mohon kerajaan sekat pelancong asing ke Langkawi

Foto 123RF (Gambar kecil: ZAINUDDIN)
Foto 123RF (Gambar kecil: ZAINUDDIN)
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) memohon kerajaan menyekat kemasukan pelancong asing melalui Projek Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi buat sementara waktu.

Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainuddin Kadir berkata, penularan varian Omicron di beberapa negara menggusarkan pemain industri untuk menerima kedatangan pelancong asing ketika ini.

Bagaimanapun katanya, ketibaan penerbangan pertama dari Singapura pada Jumaat akan melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Esok (Jumaat) penerbangan pertama dijangka tiba dengan membawa 10 penumpang sahaja. Mereka akan dikawal ketat termasuk menjalani kuarantin wajib untuk tempoh 48 jam," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Menurutnya, walaupun kemasukan pelancong asing sangat dinantikan oleh pemain industri di Langkawi sebelum ini namun aspek keselamatan lebih penting apabila melibatkan varian berbahaya.

"Kita tidak mahu berlaku penularan Covid-19 di pulau ini sehingga menjejaskan kembali sektor pelancongan yang baru saja hendak bernafas.

"Apatah lagi sejak pulau ini dibuka untuk pelancongan dalam negara, belum ada kluster melibatkan pelancong dicatatkan di Langkawi," katanya.

Pada 25 Oktober lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dibuka kepada semua pelancong tanpa dihadkan kepada mana-mana negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, langkah itu diambil susulan terdapat prosedur ketat yang akan dilaksanakan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 di pulau pelancongan itu.

Gelembung pelancongan antarabangsa diperkenalkan bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!