'Caj 20 sen tampung kos ditanggung peniaga'
KUALA LUMPUR- Peniaga serta peruncit dibenarkan untuk mengenakan caj 20 sen untuk setiap beg plastik yang diberikan kepada pembeli.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad berkata caj tersebut untuk menampung kos yang selama ini ditanggung oleh peniaga.
"Mulai 15 Mac semua peniaga dan peruncit adalah dibenarkan untuk mengenakan caj 20 sen ke atas beg biodegradasi yang dibekalkan kepada pembeli.
"Caj tersebut untuk menampung sebahagian kos pengeluaran beg plastik biodegradasi tersebut yang selama ini ditanggung oleh peniaga," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Katanya, dalam masa sama pihaknya turut menasihatkan agar orang ramai dapat membawa beg sendiri.
"Bagi mengelakkan dari menanggung kos 20 sen ini, orang ramai boleh membawa beg sendiri apabila membeli belah," katanya.
Terdahulu, Selasa lalu, Khalid Samad mengumumkan caj pencemaran sebanyak 20 sen akan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan mulai 15 Mac ini.
Pendekatan tersebut dilaksanakan bertujuan untuk memberikan kesedaran dan perubahan minda kepada seluruh rakyat Malaysia dan warga Wilayah Persekutuan khususnya mengenai keperluan perbelanjaan kerajaan untuk membersihkan pencemaran sisa plastik.
ARTIKEL BERKAITAN Caj pencemaran 20 sen di Wilayah Persekutuan mulai 15 Mac
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!