Guru positif Covid-19, MRSM Pendang dinasihat tutup tiga hari

MRSM Pendang dinasihatkan untuk tutup selama tiga hari bermula Jumaat selepas tiga gurunya positif Covid-19. (Gambar kecil: Dr Othman Warijo)
MRSM Pendang dinasihatkan untuk tutup selama tiga hari bermula Jumaat selepas tiga gurunya positif Covid-19. (Gambar kecil: Dr Othman Warijo)
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menasihatkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang tidak beroperasi selama tiga hari bermula Jumaat selepas tiga gurunya didapati positif Covid-19 baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, seorang guru terbabit tinggal di kuarters MRSM sementara dua lagi tinggal di taman perumahan di luar sekolah tersebut.

Menurutnya, nasihat penutupan MRSM dilakukan oleh pihaknya bagi tujuan sanitasi termasuk siasatan lanjut selepas kes positif membabitkan guru berkenaan dikesan antara 26 November lalu hingga Khamis.

“Ketiga-tiga guru berkenaan telah diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO) dan seramai 30 guru telah dikenal pasti sebagai kontak rapat dan turut diarahkan menjalani HSO,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Othman berkata, walaupun sekolah berasrama penuh tersebut ditutup, namun pelajar tidak pulang ke rumah dan akan tetap berada di asrama berkenaan.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ketiga-tiga guru berkenaan dalam keadaan stabil dan sudahpun menerima vaksinasi lengkap.

Jelasnya, JKN Kedah telah mengambil langkah-langkah sebaik mungkin bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dicegah di sekolah berasrama penuh itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan setakat ini untuk memastikan kontak rapat serta punca penularan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!