Joe Ipoh impi bina akademi sukan 'skateboard'
MULA melibatkan diri dalam sukan luncur papan selaju (skateboard) sejak tahun 1989, Johary Fitry Khairuddin, 48 atau lebih mesra dengan panggilan Joe Ipoh mengakui hidupnya sudah sebati dengan sukan tersebut.
Anak kelahiran Ipoh, Perak ini mula menceburi bidang sukan tersebut sejak dia menamatkan alam persekolahan di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh, Perak pada tahun 1989 dan itulah cinta pertamanya sejak itu.
Setelah dberpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baharu pada tahun 1997, Johary Fitry berkata, dia mula bergiat dalam dunia sukan luncur papan selaju pada tahun 1999 dan banyak mewakili negara dalam acara luncur papan selaju
Antara kejohanan yang pernah dia sertai ialah pada X Games Asia di Phuket, Thailand (1999), Phillips X- Rage di Senayan, Jakarta (2001) dan X Games Asia di Kuala Lumpur (2004).
Walaupun masih bermain papan selaju sehingga kini, namun dia tidak lagi menyertai mana-mana pertandingan, sebaliknya melatih para atlet baharu untuk acara sukan tersebut.
“Saya menjadi pelatih untuk sukan luncur papan selaju setelah dilantik oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada tahun 1999 untuk melatih atlet Malaysia.
“Saya masih aktif bermain, tapi tidak lagi memasuki mana-mana pertandingan dan kini lebih fokus kepada mengajar mereka yang berminat dalam sukan ini sahaja.
“Saya berhenti memasuki mana-mana pertandingan dan fokus menjadi pelatih pada tahun 2012,” katanya.
Dalam pada itu, Johary Fitry yang merupakan peluncur papan selaju dalam diam menyimpan hasrat untuk membuka sebuah kedai menjual papan selaju, walaupun pada asalnya ia hanyalah sebuah angan-angan.
Namun rezeki tidak pernah salah alamat, dia ketika itu sering bermain papan selaju di Mont Kiara Skatepark, Bukit Kiara, didekati oleh rakannya yang mengesyorkannya untuk membuka kedai tersebut di sini.
“Saya sering bermain papan luncur selaju di sini sejak 14 tahun lalu, pada Disember 2015 selepas saya berkahwin dengan isteri saya, Melissa Shanti, 36, rakan saya mengesyorkan untuk membuka sebuah kedai papan selaju di sini.
“Jadi dengan modal sebanyak RM5,000, saya buka kedai tersebut. Mungkin ini rezeki saya selepas kahwin”
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan Bukit Kiara, kerana memberikan saya ruang untuk berniaga di sini," katanya yang kini mempunyai dua orang anak perempuan.
Bercerita soal perniagaannya yang kini berusia enam tahun, kedainya yang bertempat di Kompleks Sukan Bukit Kiara, di sini, menempatkan lebih 30 jenama papan selaju meliputi jenama antarabangsa, tempatan dan jenamanya sendiri iaitu The G Hard.
Selain daripada menjual produk tersebut, kedai tersebut turut menyediakan servis penyelenggaraan papan selaju dan kelas latihan yang dikendalikan oleh Johary Fitry sendiri memandangkan lokasi kedai berdekatan dengan tapak meluncur.
Johary Fitry berkata, perniagaannya terus berkembang walaupun negara dilanda pandemik Covid-19 sejak tahun lalu, yang mana hasil jualannya meningkat sebanyak 70 peratus.
Selain itu, ramai orang daripada pelbagai lingkungan usia mula berminat untuk bermain papan selaju, terutamanya golongan ibu bapa.
"Saya terkejut apabila hasil jualan papan selaju di kedai saya meningkat sebanyak 70 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
"Selain itu, saya juga menerima lebih daripada 500 orang yang ingin belajar bermain papan selaju, namun kerana saya hanya membuka kelas pada hujung minggu, senarai menunggu menjadi lebih panjang.
"Antara faktor lain yang mempengaruhi jualan papan selaju di kedai saya ialah pendedahan sukan tersebut ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.
Berkenaan soal perancangan perniagaan untuk masa depan, Johary Fitry berhasrat ingin membuka sebuah akademi khusus untuk sukan luncur papan selaju memandangkan bidang sukan tersebut mula diterima ramai.
Namun disebabkan agak sukar mencari lokasi strategik bagi merealisasikan impian itu, dia berhasrat untuk memfokuskan perniagaan sedia ada di sini.
"Saya dah lama rancang perkara ini, saya juga mencari beberapa lokasi strategik seperti di Cyberjaya, Sepang namun ia kurang sesuai kerana tapak meluncur yang bagus perlu mempunyai kedai makan dan kedai papan selaju untuk menghidupkan suasana.
"Buat masa ini hanya ada akademi sukan lain seperti bola sepak, dan disebabkan bidang sukan luncur papan selaju mula berkembang, saya rasa wajar untuk sebuah akademi khas dibuka.
"Saya harap perniagaan ini terus berkembang kerana sukan ini menyihatkan, selain itu ia juga mampu mewujudkan cabang bidang lain seperti fotografi, fesyen dan seni," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!