'Jika perlu, pecat ‘badut’, ‘watak komik’ dalam PH'
KUALA LUMPUR - Menghampiri setahun pemerintahan PH di Malaysia, Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berpendapat rakyat, media dan pelabur akan memantau kerajaan baharu dengan lebih ketat.
Menerusi catatan di blognya, Kadir berkata, sekiranya PH mahu lulus dalam ujian tersebut, mereka perlu memperbaiki ‘cerita mereka’ dan mungkin terpaksa menyusun bahkan memecat beberapa ‘pelakon’ dalam cerita tersebut.
Tambah beliau, PH mesti bekerja keras dan bijak untuk memenuhi aspirasi rakyat dan membuktikan bahawa mereka bukanlah kerajaan sepenggal.
“Plot dan naratifnya perlu difahami dan dipercayai rakyat. ‘Pelakonnya’ pula perlu dihormati. Tiada peranan untuk badut dan watak komik.
“Menteri, menteri besar dan ketua menteri perlu muhasabah diri dan jika perlu, kritik diri sendiri. Jangan terburu-buru salahkan media dan rakyat jika kisah kereta terbang menerjah minda mereka atau ketika mereka melihat kerajaan tidak cekap dan sombong,” tulis beliau.
Dalam pada itu, tokoh wartawan itu berpendapat dalam tempoh sembilan bulan selepas 9 Mei 2018, PH sebenarnya telah mencapai kemajuan yang agak baik untuk parti tersebut dan juga negara.
Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sebelum ini menegaskan yang Malaysia kini bukan lagi negara kleptokrasi.
“Begitupun, beliau juga mengeluh apabila memilih demokrasi, pemimpin dan rakyat perlu belajar menerima semua aspek baik dan tidak baik dalam sistem tersebut.
“Kemajuan kedua, masalah dihadapi rakyat diikuti dengan cara lebih sistematik dan telus dengan pelan jangka panjang untuk menjadikan ‘kemakmuran bersama’ sebagai asas bagi penciptaan dan pengagihan kekayaan.
“Bahkan, beliau (Dr Mahathir), ahli Kabinet dan pemimpin gabungannya mengakui secara terbuka bahawa banyak harapan rakyat belum dipenuhi dan beberapa janji pilihan raya perlu diubah untuk menjadikannya realistik serta dapat dilaksanakan,” katanya.
Tambah A Kadir lagi, PH menyedari sokongan beberapa segmen rakyat telah menurun seperti diterjemahkan dalam keputusan PRK Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih, baru-baru ini.
“Demokrasi, menurut Dr Mahathir umpama pedang dua mata, ia mampu mencederakan pemegangnya sebagaimana ia mampu untuk melindungi juga.
“Menteri dan pemimpin parti mungkin menggunakan demokrasi untuk menyuarakan kepentingan rakyat namun kepada rakyat, ia kelihatan seperti mereka bergaduh sesama sendiri.
“Justeru, nasihat perdana menteri, mulai sekarang mereka (menteri dan pemimpin parti) perlu berfikir sebelum bercakap, melihat sebelum melompat dan berbincang dengan kabinet dalam hal mustahak,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!