Kenaikan harga barang: Peniaga akur walau raih untung sedikit

Masih ada peniaga berupaya menjual barangan keperluan itu di bawah harga kawalan meskipun hanya untung sedikit.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
Masih ada peniaga berupaya menjual barangan keperluan itu di bawah harga kawalan meskipun hanya untung sedikit.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketika ramai pihak terutama pengguna melahirkan kegusaran mengenai kenaikan harga barangan basah, masih ada peniaga berupaya menjual barangan keperluan itu di bawah harga kawalan meskipun hanya untung sedikit.

Tinjauan Bernama di Pasar Pudu mendapati beberapa peniaga terpaksa menjual barangan basah di bawah harga kawalan kerana bagi mereka keuntungan sedikit itu lebih baik daripada kehilangan pelanggan setia.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bumiputra Pasar Pudu Abdul Rahim Ardi berkata walaupun harga barangan basah terus meningkat, peniaga di Pasar Pudu masih berupaya menjual barangan keperluan itu di bawah harga kawalan.

“Saya sebagai pengerusi persatuan dan juga sebagai peniaga ayam di sini kami juga terpaksa menjual harga ayam dengan harga RM9.20 sekilogram kepada sesetengah pelanggan walaupun harga kawalan bagi ayam adalah RM9.50,” katanya kepada Bernama di sini.

Tambahnya, majoriti peniaga di Pasar Pudu kesal kerana terpaksa menjual harga barangan lebih tinggi sedikit daripada biasa kerana peniaga juga perlu membayar kos-kos lain seperti beg plastik, sarung tangan dan juga membayar khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) di kawasan terbabit.

Seorang peniaga sayur Thangni Ramasamy, 45, berkata, dia juga terpaksa untuk menjual harga sayuran dengan memberikan sedikit potongan harga kepada pelanggan tetap khususnya peniaga kedai makan.

“Walaupun harga jualan sayur-sayuran meningkat seperti kacang panjang, terung bulat dan lain-lain, saya cuba untuk memberikan potongan harga kepada pelanggan tetap saya bagi menjaga hati mereka walaupun untung sekadar 50 sen hingga RM1 dan bagi saya itu sudah memadai,” katanya.

Sementara itu, peniaga ikan Yusof Azmi, 33, berkata dia tiada pilihan selain terpaksa menjual ikannya tanpa potongan kepada pelanggannya kerana harga ikan yang dijual di situ sudah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Kenaikan harga kali ini membuatkan saya tidak dapat memberi diskaun kepada pelanggan, kalau dahulu ikan keli yang kami jual adalah berharga RM5 sekilogram, kini harga ikan keli boleh mencapai RM8 sekilogram dan kalau kami cuba untuk turunkan harga walaupun sedikit kami yang menanggung rugi,” katanya.

Seorang pembeli dan juga peniaga kedai makan, Vincent Lee, 56, berkata walaupun dia mendapat harga murah kerana potongan harga sebagai pelanggan tetap namun menganggap perkara itu tidak adil kepada penjual. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan perlu kawal kenaikan harga barang

ARTIKEL BERKAITAN:Kenaikan harga bekalan dipercayai berpunca daripada orang tengah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!