Tingkat penguatkuasaan atasi pencemaran sungai di Selangor
SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) terus meningkatkan penguatkuasaan termasuk melaksanakan operasi khas pada setiap bulan susulan kes pencemaran sungai berlaku di Selangor.
Malah, rondaan penguatkuasaan pada hujung minggu dan cuti umum turut dijalankan sebagai langkah tambahan kepada program penguatkuasaan tahunan yang dirancang pada setiap tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah penguatkuasaan juga ditingkatkan kepada hampir dua kali ganda dengan jumlah kekuatan pasukan penguat kuasa sedia ada.
"Pada 2020, jumlah penguatkuasaan di lapangan ke atas industri di negeri Selangor adalah sebanyak 2,009 berbanding 1,441 pada tahun 2019, dengan peratus pematuhan melebihi 97 peratus.
"Selain itu, penguatkuasaan secara bersepadu turut dijalankan bersama seluruh agensi di bawah kerajaan negeri Selangor," katanya ketika sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke -14 di sini pada Jumaat.
Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ronnie Liu Tian Khiew (DAP-Sungai Pelek) mengenai antara usaha kerajaan negeri mengatasi masalah sungai tercemar ekoran industri-industri di sepanjang sungai di negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, bagi perancangan jangka masa panjang pula, JAS sedang menambah baik perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa.
Menurutnya, penetapan tahap piawai lebih ketat terutamanya bagi industri yang terletak di hulu loji rawatan air adalah elemen perundangan yang diambil kira oleh JAS.
"Dalam hal ini, pihak industri turut dikehendaki supaya mempunyai perancangan polisi ke arah 'beyond compliance' melalui pendekatan seperti 'waste minimisation' yang menggalakkan konsep kitaran ekonomi, pelepasan sifar (zero discharge) dan 'polluters pay principle'," katanya.
Tambah Amirudin, draf pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang kini sedang dalam semakan JAS juga akan menerapkan elemen Jumlah Maksimum Beban Harian (T MDL- Total Maximum Daily Load).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!