Allianz General, Pekat tandatangani MoU perkukuhkan sistem PV solar
PETALING JAYA - Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama unit syarikat Pekat Group Berhad (Pekat) iaitu Solaroo System Sdn Bhd (Solaroo).
Kerjasama tersebut bertujuan memperkukuhkan setiap kediaman yang mempunyai kelengkapan sistem fotovoltaik (PV) solar dengan kemudahan insurans Allianz iaitu SolarPro selama lima tahun.
SolarPro menangani isu termasuk kekurangan perkhidmatan sokongan, kos penyelenggaraan tinggi dan kekurangan pampasan untuk kerosakan dihadapi pemilik kediaman serta komersial yang menggunakan kelengkapan PV solar.
Ia menawarkan perlindungan semua risiko yang komprehensif meliputi kehilangan atau kerosakan pada sistem PV solar serta kehilangan pendapatan atau simpanan akibat masa tidak berfungsi sistem.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General, Sean Wang berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Solaroo kerana ia merupakan satu lagi langkah ke arah matlamat dalam menjadi pemangkin utama membina masa depan yang mampan.
"Kerjasama dengan Solaroo ini dijalin atas matlamat bersama kami untuk mengukuhkan komitmen ke arah memacu agenda hijau dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan peluang untuk memainkan peranan dalam membentuk masa depan selamat, inklusif dan mampan. Pada masa sama menjamin pembangunan masa depan tenaga suria di negara ini.
"Penyelesaian insurans kami iaitu SolarPro sentiasa memberi sokongan bermakna kepada pengguna PV solar. Melalui kolaboratif dengan Solaroo, kami berharap sokongan terhadap penggunaan PV solar di Malaysia berterusan," kata Sean ketika dalam sidang akhbar selepas menandatangani MoU di Hotel New World di sini pada Rabu.
Turut hadir ialah Pengarah Solaroo, Hann Sze dan Ketua Agensi Allianz General, Ivan Lee.
Mengulas lanjut, Sean berkata, sejak dilancarkan pada tahun 2018, SolarPro sentiasa menyediakan sokongan dan kemudahan bermakna kepada pengguna PV solar.
Menurutnya, ia merupakan insentif perlindungan tunggal yang melindungi kehilangan atau kerosakan pada sistem PV solar akibat sebarang kerosakan, kecurian, bencana kilat dan lain-lain.
"Ini bermakna pemilik PV solar sama ada kediaman atau komersial tidak akan menanggung beban untuk menanggung kos pembaikan atau penggantian alat ganti termasuk komponen.
"Pengguna juga akan diberi pampasan untuk kehilangan pendapatan atau simpanan sekiranya sistem PV solar mereka mengalami 'downtime' (masa henti) akibat kerosakan atau kecurian.
"Ini merupakan langkah penting untuk Allianz General kerana kami menangani isu sebenar yang dihadapi oleh pemilik PV Solar sama ada kediaman dan komersial," jelas beliau.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Pekat, Chin Soo Mau berkata, kerjasama berkenaan juga mengesahkan perhubungan yang telah lama terjalin antara Pekat dan Allianz General dalam aspek penyelesaian insurans.
"Dapat bekerjasama dengan Allianz General dalam memajukan usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), memberi kami kepuasan kerana dapat berkongsi kepakaran dan sumber dengan komuniti serta melindungi alam sekitar.
"Kami sememangnya amat berbangga kerana dapat melakukannya dengan Allianz General yang berkongsi prinsip serta nilai sama dalam kemampanan dan tenaga boleh diperbaharui," ujarnya.
-end-
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!