Program VTL Singapura-Malaysia tetap diteruskan: Khairy
PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat antara Singapura dan Malaysia diteruskan meskipun negara merekodkan kes pertama positif Covid-19 varian Omicron pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua pengembara yang tiba di Malaysia menerusi VTL udara dan darat dikehendaki membuat ujian kendiri Covid-19 pada hari ketiga dan ketujuh dari tarikh ketibaan.
“Saya juga ada berhubung dengan rakan sejawat dari Singapura, Ong Ye Kung berikutan pengesanan kes varian Omicron ini.
“Kami mengesahkan bahawa VTL akan diteruskan, malah akan mengemaskini antara satu sama lain setiap hari dan menyelaraskan respons sewajarnya,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, antara langkah lain yang turut diambil kira bagi memperketatkan lagi kawalan di negara adalah dengan meneruskan sekatan perjalanan sementara terhadap lapan negara yang dikenalpasti.
“Ini termasuklah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.
“Bagi gelembung pelancongan Langkawi, pengembara yang tiba dari semua negara juga perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 tambahan iaitu pada hari ketiga dan kelima dari tarikh ketibaan. Jenis ujian adalah Antigen Rapit Test Kit (RTK-Ag) secara profesional,” katanya.
Selain itu, Khairy Jamaluddin berkata, pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), akan dipakaikan peranti pengesan digital sepanjang tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (kuarantin).
“Senarai negara berisiko tinggi akan dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melalui penilaian risiko,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat tidak perlu panik dengan kemunculan varian Omicron kerana langkah-langkah pencegahan Covid-19 yang dikuatkuasakan ketika ini dilihat berkesan mencegah penularan wabak itu.
“Ini kerana prosedur operasi standard (SOP) dan juga segala garis panduan yang sedia ada adalah sangat-sangat ketat.
“Kalau kita lihat negara-negara lain yang mula perketatkan langkah-langkah mereka disebabkan Omicron, sebenarnya mereka melaksanakan apa yang Malaysia melaksanakan.
“Kita antara yang saya rasa negara paling cermat dari segi pencegahan. Kita masih lagi ada kuarantin, keperluan untuk mematuhi pemakaian pelitup muka, malah
ada sistem pengesanan kontak yang saya rasa agak teliti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!