Pembantu rumah Indonesia bunuh bayi terlepas tali gantung
SHAH ALAM - Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh bayinya yang baru dilahirkan, pada Jumaat dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan dengan cuai menyebabkan kematian anaknya itu.
Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Welmince Alunat, 40, selepas wanita itu mengaku bersalah atas perbuatan tersebut.
Beliau membuat keputusan itu selepas meminda pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati kepada Seksyen 304(A) yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Hakim itu berkata, setelah mengambil kira semua fakta, mahkamah mengemukakan pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 304(A), selepas mendapati tertuduh tidak sewajarnya dituduh di bawah Seksyen 302.
Hakim Mohd Yazid dalam keputusan di akhir kes pendakwaan berkata, wujud kegopohan dan kecuaian oleh tertuduh, sehingga menyebabkan kematian bayinya.
“Kalau tertuduh tidak meletakkan bayinya ke dalam baldi, bayi itu tidak akan mati. Tertuduh ada hubungan sulit dengan seorang lelaki warga Bangladesh dan kerana takut (terbongkar), maka kejadian itu dilakukan secara gopoh-gapah.
“Apa yang dia lakukan adalah kerana takut, memandangkan tertuduh masih mempunyai suami dan empat orang anak di Indonesia. Kenapa merampas hak bayi itu untuk hidup,” katanya.
Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun itu bermula pada 22 Ogos 2019 iaitu tarikh tertuduh ditangkap. Tertuduh yang ditahan reman pada tarikh itu dibebaskan hari ini.
Wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik mencuci dan menjemur baju di rumah majikannya di Taman Cempaka, Ampang pada 7 pagi, 22 Ogos 2019.
Sebelum ini mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan hari ini ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ariff Muzammil Wan Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam S.Selvi, Lim Wei Qi dan Ho Zhi Qian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!