RMHC Malaysia peruntuk lebih RM1.66 juta
Khusus untuk program “Kembali Ke Sekolah” bagi membantu lebih 21,000 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara
TAMPIN - Ronald McDonald House Charities (RMHC) memperuntukkan lebih RM1.66 juta khusus untuk program “Kembali Ke Sekolah” bagi membantu lebih 21,000 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara tahun ini.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif tahunan utama anjuran RMHC Malaysia dan disokong sepenuhnya oleh McD Malaysia sebagai penaja korporat utama.
Sejak 2017 lagi McDonald’s Malaysia dan RMHC telah aktif menyumbang pek “Kembali Ke Sekolah” kepada murid-murid sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah. Sehingga tahun ini, hampir RM9 juta telah dibelanjakan dan lebih 95,000 kanak-kanak di seluruh negara telah mendapat manfaat.
Menurutnya, inisiatif-inisiatif tanggungjawab korporat McDonald’s Malaysia adalah khusus meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup kanak-kanak. Jelas beliau, pihaknya percaya setiap kanak-kanak perlu diberi suasana kehidupan yang selamat, kondusif dan sihat.
“Melalui program pek “Kembali Ke Sekolah” ini, kami harap ia dapat menjadi motivasi untuk kanak-kanak ini berjaya dalam pendidikan mereka. Mereka adalah masa depan negara kita, mereka juga bakal menjadi pemimpin dan peneraju pelbagai industri,”kata Azmir ketika ditemui di McDonald’s Tampin di sini pada Khamis.
Melihat kepada keperluan, beliau yang juga merupakan Presiden RMHC berkata, program bantuan itu akan diadakan secara berterusan dengan sasaran seramai 30,000 pelajar menerima manfaat bagi tahun hadapan.
Ujarnya, misi McDonald’s Malaysia bukan sahaja menyediakan makanan yang berkualiti tetapi juga membantu masyarakat menikmati kehidupan lebih baik.
"Program ini kali kelima dianjurkan dan setiap tahun 20,000 sehingga 25,000 pek bantuan diagihkan kepada sekolah terpilih menerusi kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Kita berharap dapat membantu lebih ramai pelajar pada masa akan datang dan sangat mengharapkan sokongan masyarakat untuk McDonald’s Malaysia meneruskan usaha ini," katanya.
Sebelum itu, beliau menyampaikan replika cek sumbangan pek “Kembali Ke Sekolah” 2021 bernilai RM25,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Pasir Besar di Gemas dalam majlis diadakan di McDonald’s Cawangan Tampin.
Para pelajar dari SK Felda Pasir Besar ini adalah penerima terawal peralatan persekolahan berkenaan bagi sesi persekolahan baharu nanti. Setiap pek mengandungi beg sekolah, botol air, alat tulis dan sepasang kasut sekolah. Sumbangan berkenaan diserahkan kepada Guru Besar SK Felda Pasir Besar,Mohamad Zain Md Sevan yang turut disaksikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Tampin, Alias Abdul Samad.
“Sumbangan yang disampaikan kepada sekolah ini amat dekat di hati saya kerana ia tempat di mana saya mula mendapat pendidikan di sekolah rendah. Melalui sumbangan ini, sekurang-kurangnya saya dapat menyumbang kembali kepada sekolah yang telah mendidik dan membentuk saya menjadi seorang individu yang berjaya sekarang,” kata Azmir.
"Terima kasih sangat pada McDonald’s sebab bantu ringankan beban saya lebih-lebih lagi zaman pandemik Covid-19 ini.
"Lega rasanya kerana saya tak perlu fikir lagi untuk buat persiapan anak-anak ke sekolah. Usaha murni McDonald’s ini sangat bagus dan perlu diteruskan," katanya.
"Saya hanya bekerja sebagai pemandu syarikat dan pendapatan tidak seberapa.”
"Ini kali pertama saya terima bantuan dari McDonald’s dan saya sangat bersyukur kerana terpilih," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!