SAM gesa siasatan terperinci kejadian tanah runtuh

Runtuhan tanah mengakibatkan laluan utama ke Cameron Highlands dari Simpang Pulai itu terhalang sepenuhnya pada Khamis.
Runtuhan tanah mengakibatkan laluan utama ke Cameron Highlands dari Simpang Pulai itu terhalang sepenuhnya pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) mahu kerajaan menjalankan siasatan segera dan terperinci mengenai punca kejadian tanah runtuh di Kilometer 34 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley ke Cameron Highlands, pada Khamis.

Presidennya, R Meenakshi berkata, pihaknya bimbang sekiranya terdapat sebarang pembersihan tanah untuk aktiviti pertanian atau pembangunan lain yang telah atau sedang dijalankan di kawasan tersebut dan kegiatan itu perlu dihentikan segera.

Menurutnya, walaupun terdapat banyak kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands dan sekitarnya, ia jelas menunjukkan bahawa langkah-langkah yang telah diambil untuk mencegah tragedi sebegini masih tidak mencukupi.

"Sering kali kita mendengar tanah runtuh dan kegagalan cerun berlaku berikutan hujan yang berterusan bukan hanya di Cameron Highlands tetapi juga di bahagian lain negara.

"Kejadian hujan lebat bukan sesuatu yang luar biasa dan sudah dijangka tetapi ia bukanlah penyebab utama tanah runtuh dan kegagalan cerun.

"Bagi suatu kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun untuk berlaku dan dicetuskan oleh hujan lebat yang berterusan, mestilah terdapat gangguan kepada rupa bumi semula jadi di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Meenakshi berkata, pihaknya juga menggesa pihak berkuasa di Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya supaya memantau semua kawasan berisiko tinggi dan mengambil langkah untuk mencegah daripada berlakunya tanah runtuh atau kegagalan cerun lain.

"Kita semua mesti tahu sekarang bahawa kawasan tanah tinggi dan bukit adalah kawasan alam sekitar yang sensitif dan amat terdedah kepada tanah runtuh dan kegagalan cerun.

Artikel Berkaitan:

"Dengan berlakunya perubahan iklim, kita boleh melihat kekerapan dan keamatan hujan lebat sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa bertindak dengan was-was dan mengawal dengan ketat pembangunan di atas tanah bukit dan tanah tinggi, menjalankan pemantauan dengan lebih kerap dan menguatkuasakan dengan tegas undang-undang dan peraturan yang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak berkuasa perlu menghentikan penukaran tanah bukit dan tanah tinggi dan mestilah mengawal dengan lebih tegas aktiviti yang sedia ada.

Jelasnya, sekiranya ia masih dibiarkan tragedi sama mungkin akan berulang lagi suatu hari nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!