Sabah bentang Belanjawan 2022 RM4.596 bilion
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah membentang belanjawan lebihan berjumlah RM4.596 bilion berbanding kutipan hasil sebanyak RM4.707 bilion pada tahun hadapan dengan nilai lebihan sebanyak RM110.68 juta.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu selari dengan tuntutan dan keutamaan semasa serta tema belanjawan tahun depan iaitu 'Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera'.
Katanya, tema itu dirangka berteraskan aspirasi dan komitmen kerajaan negeri bagi memulihkan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Bagi merealisasikan matlamat tema belanjawan ini, kerajaan negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan Belanjawan Tahun 2022 berjumlah RM4.596 bilion dengan anggaran kutipan hasil sebanyak RM4.707 bilion.
"Ini bermakna Belanjawan 2022 Negeri Sabah adalah Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) berjumlah RM110.68 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Jumaat.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan tahun depan, Kementerian Kewangan menerima peruntukan tertinggi dengan anggaran perbekalan sebanyak RM1.824 bilion, manakala anggaran pembangunan sebanyak RM4 juta.
Sementara itu, Hajiji berkata, Perbelanjaan Yang Diuntukkan pula menerima anggaran perbekalan sebanyak RM383.04 juta, manakala Perbelanjaan Yang Tidak Termasuk Dalam Kementerian-Kementerian menerima anggaran perbekalan RM33.73 juta.
Sebelum itu, belanjawan itu adalah yang kedua dibentangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Belanjawan Sabah 2021 yang dibentangkan pada 18 Disember tahun lalu.
Jumlah perbelanjaan tahun depan menunjukkan peningkatan berbanding RM4.303 bilion yang diperuntukkan kerajaan negeri dalam belanjawan tahun ini dengan lebihan RM178.7 juta bberbanding unjuran hasil sebanyak RM4.481 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!