Kampung Batu Puteh rangkul Anugerah Kampung Pelancongan Terbaik Dunia

Nancy.- Foto fail Bernama
Nancy.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kampung Batu Puteh yang terletak di hilir Sungai Kinabatangan, Sabah meraih Anugerah Perkampungan Pelancongan Terbaik Dunia yang julung kali diperkenalkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), di Madrid, Sepanyol pada Khamis.

Pengumuman rasmi dan majlis penganugerahan berlangsung semalam dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Pengerusi Koperasi Ekopelancongan Komuniti Batu Puteh Abdul Sanih Nasri, yang menerima anugerah itu daripada Setiausaha Agung UNWTO, Zurab Pololikashvili.

Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, kejayaan Kampung Batu Puteh adalah hasil usaha gigih pihak koperasi komunitinya yang mempunyai 350 ahli dan pemegang saham meliputi penduduk desa, nelayan dan petani yang menceburi ekopelancongan dan inisiatif pemuliharaan alam sekitar.

Menurut MOTAC, usaha sama itu yang diketuai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Model Pelancongan Masyarakat Berekologi Mampan (MESCOT) bersama Miso Walai Homestay yang pernah menerima anugerah inap desa terbaik, menawarkan pengalaman pelancongan budaya berasaskan komuniti yang tersusun.

Sementara itu, susulan anugerah berprestij berkenaan Nancy berkata Batu Puteh adalah model pelancongan luar bandar, ekopelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti bertanggungjawab yang berjaya, yang sentiasa dipromosikan secara meluas oleh Malaysia.

“Bidang pelancongan ini merupakan antara kekuatan utama negara memandangkan kita dikurniakan dengan begitu banyak aset semula jadi, warisan dan kepelbagaian budaya," katanya.

Bagi Malaysia, beliau berkata pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah memberi peluang kepada permulaan baharu berikutan terdapat peningkatan minat terhadap pelancongan “bandar kedua” dan penerokaan destinasi yang kurang dikenali.

“Saya percaya ini adalah waktu terbaik untuk mempromosikan ‘permata tersembunyi’ dalam negara kita, kerana pelancong dijangka lebih gemar kepada destinasi berasaskan alam semula jadi dengan gaya hidup yang relaks dan udara segar,” tambah Nancy.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memuji UNWTO kerana memperkenalkan anugerah itu tepat pada masanya.

“Anugerah dan pengiktirafan ini akan membawa maksud yang lebih besar dan menjadi kebanggaan dalam kalangan perusahaan kecil dan mikro tempatan yang membentuk majoriti perusahaan pelancongan di rantau Asia Pasifik,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!