E-buku Covid-19 dilancar dalam talian
KUALA LUMPUR - E-buku mengenai Covid-19 yang pertama di Malaysia bertajuk ‘If the Dying Could Speak’ dilancarkan secara dalam talian oleh kedai buku E-Sentral, pada Jumaat.
Buku itu merupakan hasil karya wartawan veteran Prof Madya M. Krishnamoorthy dengan harapan ia akan membantu pembuat keputusan untuk belajar daripada pakar kesihatan mengenai strategi penjagaan kesihatan yang inovatif dan berdaya maju.
Krishnamoorthy dalam kenyataan berkata, buku itu membawa pembaca melalui perjalanan menyayat hati seorang lelaki yang menghembuskan nafas terakhirnya tanpa keluarga di sisi, serta menceritakan suasana penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bekerja melebihi 24 jam ketika negara memerlukan khidmat mereka.
“Kulit buku itu menggambarkan tanda ‘cinta’ menggunakan bendera Malaysia, dengan tajuk kecilnya ‘30,000 Deaths & 3 Milion Covid Cases: Lessons to be Learned’,” katanya.
Krishnamoorthy sebelum ini merupakan wartawan Bernama, The Star, NST, CNN, BBC dan New York Times.
Dalam kata pengantar, pensyarah kanan Xiamen University Malaysia Jenny Maganran Goh menyatakan, bahawa menerusi 33 bab anekdot peribadi bersama artikel berita, ulasan dan pandangan, penulis menunjukkan bagaimana jiwa rakyat Malaysia berubah semasa pandemik dan pastinya kisah baharu mengenai rakyat yang terperangkap dalam krisis bersejarah itu dan bersedia untuk menyentuh emosi pembaca. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!