Omicron: Singapura tingkat saringan VTL udara, darat

Singapura bakal meningkatkan rejim ujian saringan ke atas mereka yang tiba di negara itu melalui VTL udara dan darat bermula 7 Disember, ketika peningkatan kes Covid-19 varian Omicron di seluruh dunia.
Singapura bakal meningkatkan rejim ujian saringan ke atas mereka yang tiba di negara itu melalui VTL udara dan darat bermula 7 Disember, ketika peningkatan kes Covid-19 varian Omicron di seluruh dunia.
A
A
A

SINGAPURA - Singapura bakal meningkatkan rejim ujian saringan ke atas mereka yang tiba di negara itu melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat bermula 7 Disember, ketika peningkatan kes Covid-19 varian Omicron di seluruh dunia.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, semua pengembara yang masuk menerusi program VTL perlu menjalani ujian saringan setiap hari selama seminggu menggunakan kit Ujian Pantas Antigen (ART).

Pada hari ketiga dan ketujuh, saringan ART perlu dilakukan di bawah pengawasan di Pusat Saringan Bersepadu (CTC) atau Pusat Saringan Pantas (QTC) dan selebihnya perlu dilakukan secara kendiri.

Ketika ini, protokol ujian saringan untuk pengembara VTL udara perlu melakukan PCR-Test semasa ketibaan diikuti ujian ART pada hari ketiga dan ketujuh manakala untuk VTL darat, ujian pra-berlepas dan ART semasa ketibaan.

“Kami jangkakan dunia akan menyaksikan lebih banyak kes Omicron dalam beberapa minggu akan datang. Kami sedang membuat penyelarasan dengan pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia untuk mengkaji dan memahami varian Omicron.

“Pada masa sama, kami akan meningkatkan rejim ujian saringan untuk pengembara. Sekiranya varian Omicron lebih mudah merebak berbanding Delta dan menjadi dominan di peringkat global nanti, pasti ia juga akan menjadi lebih menular di Singapura,” menurut kenyataan MOH pada Jumaat.

Menurut kementerian itu lagi, langkah tambahan tersebut akan membantu memberi lebih banyak masa untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut bagaimana untuk menangani Omicron di samping meneruskan program suntikan dos penggalak.

Singapura pada Khamis (2 Disember) telah mengesan dua kes import melibatkan varian Omicron. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!