Polis akan panggil peserta konvoi Rakyat Tuntut Tiga

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil semua ahli pergerakan Rakyat Tuntut Tiga yang menyertai konvoi di sekitar ibu negara petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, semua yang terlibat akan dikesan dan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Menurutnya, kumpulan berkenaan dikesan berkonvoi beberapa pusingan melalui Jalan Bukit Bintang - Jalan Sultan Ismail - Kompleks Sogo dan berakhir di Jalan Tunku Abdul Rahman.

"Siasatan dijalankan berhubung konvoi turunkan harga barang melibatkan lima buah kenderaan yang dikesan memasuki daerah Dang Wangi sambil melekatkan kertas bertulisan di kenderaan masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan konvoi bantahan kenaikan harga barang dan luahan suara rakyat oleh pergerakan Rakyat Tuntut Tiga bermula di pusat beli-belah Pavilion, Bukit Bintang di sini.

Pengerusi pergerakan tersebut, Afiqah Mohammad berkata, pihaknya membawa suara rakyat antaranya termasuk kawalan harga barang, kawal selia penguatkuasaan undang-undang dan kartel rasuah dihapuskan.

Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 9, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021, iaitu larangan berarak," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!