Jangan biar Omicron merebak

Polis Bantuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membantu penumpang pesawat yang tiba di KLIA sebelum berlepas ke destinasi yang dituju. Foto Bernama
Polis Bantuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membantu penumpang pesawat yang tiba di KLIA sebelum berlepas ke destinasi yang dituju. Foto Bernama
A
A
A

NEGARA digemparkan dengan kes pertama varian membimbangkan (VOC) Omicron yang dikesan terhadap seorang pelajar sebuah universiti swasta di Ipoh yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu.

Pelajar warga asing berusia 19 tahun itu sebelum ini telah didapati positif Covid-19 pada 19 November lepas, dan telah selesai menjalani kuarantin kendiri pada 29 November lepas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu sidang media pada pagi Jumaat menjelaskan kes itu didapati daripada ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan terhadap 74 sampel positif Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA, antara 11 November hingga 28 November lalu.

Hasil daripada ujian PCR Genotyping Assay, satu sampel melibatkan pelajar tersebut telah dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron dan jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember.

Pelajar tersebut telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.

Perjalanan pelajar tersebut daripada KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti dan semua lapan sampel termasuk kontak rapat bagi kes pertama itu dilaporkan negatif Covid-19.

Perkembangan terbaharu ini perlu menjadi kerisauan kepada semua pihak yang sudah tentu tidak mahu varian Omicron ini merebak selepas negara baru sahaja menunjukkan tanda pulih daripada pandemik Covid-19 yang lalu.

Dilaporkan 20 negara sudah mempunyai kes Omicron ini termasuk Amerika Syarikat dan Australia yang menyaksikan mereka mengetatkan kembali pintu masuk ke negara mereka untuk mengelakkan penularan yang lebih serius.

Artikel Berkaitan:

Malaysia juga tidak terlepas daripada melakukan sekatan dengan menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dan Malawi dalam senarai sekatan perjalanan sementara.

Namun, sekatan lebih ketat mungkin perlu dilakukan oleh kerajaan dengan mengambil kira kes positif tersebut mungkin boleh dibawa oleh individu lain yang tidak berasal daripada lapan negara yang dikenakan sekatan itu.

Rakyat sudah pasti tidak mahu varian itu merebak sehingga merisikokan nyawa rakyat dan juga terpaksa menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!