Jual sate ayam 50 sen secucuk
PASIR MAS - Harga ayam mahal dan sukar diperoleh tidak menghalang sepasang suami isteri menjual sate ayam 50 sen sebagai pendapatan sampingan bagi mengukuhkan ekonomi keluarga selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.
Mohd Suriadi Mohd Nazri, 29, dan isteri, Siti Rajihah Ismail, 25, yang berniaga sejak bulan lalu di Pekan Tok Uban di sini mengakui terkejut apabila sate yang dijual itu mendapat permintaan tinggi.
Siti Rajihah berkata, setiap hari dia dan suami berjaya menjual sehingga 1,000 cucuk sate ayam termasuk daging.
"Sate ayam dijual dengan harga 50 sen sahaja manakala daging pula 70 sen secucuk.
"Ramai yang terkejut melihat harga sate kami yang dikatakan sangat murah dalam keadaan semua harga barangan mahal," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Menurutnya, harga tersebut bagi memberi peluang kepada penduduk sekitar yang ramai terkesan akibat pandemik untuk menikmati sate di samping mereka mencari rezeki.
Rajihah memberitahu, sebelum ini dia berniaga keropok ikan dan keropok lekor di Pasar Tasek Raja namun terpaksa bercuti akibat alahan teruk semasa mengandungkan anak kedua.
Situasi itu juga katanya menyebabkan kewangannya berkurangan manakala pendapatan suami sebagai penjaja ikan turut terkesan.
"Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk berniaga sate.
"Gerai dibuka bermula jam 5 petang hingga 10 malam dengan bantuan suami," katanya.
Menurutnya, faktor harga yang murah dilihat menjadi daya tarikan utama penduduk untuk menjamah sate yang dijual mereka.
Katanya, rasa yang enak turut menjadi pelengkap sehingga menyebabkan dia dan suami tidak menang tangan untuk menjual sate.
Sementara itu, pembeli, Nur Asyikin Isa,27, berkata, jualan sate ini banyak membantu penduduk untuk menikmati keenakan rasa makanan tersebut pada harga yang rendah.
"Bukan sahaja murah, rasa yang enak serta saiznya yang besar menjadi pelengkap kepada makanan ini.
"Sekarang ini semua harga barangan melambung naik namun masih ada peniaga yang menjual pada harga 50 sen. Ini sesuatu yang baik, khususnya untuk penduduk di Kampung Tok Uban dan sekitarnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!