Op Menu: Lapan pengusaha makanan dikompaun di Perak

Dottie Azlina (tengah) melakukan pemeriksaan Op Menu di Lembah Kuala Kangsar pada Jumaat. - Foto ihsan KPDNHEP Perak
Dottie Azlina (tengah) melakukan pemeriksaan Op Menu di Lembah Kuala Kangsar pada Jumaat. - Foto ihsan KPDNHEP Perak
A
A
A

IPOH - Seramai lapan pengusaha restoran dan kedai makan dikenakan tindakan dalam pemeriksaan Op Menu yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak sepanjang tempoh 6 November hingga Jumaat.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Dottie Azlina Ismail berkata, sebanyak 287 pemeriksaan dilakukan dan lima daripada mereka dikompaun di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972, manakala tiga lagi di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan nilai keseluruhan RM2,200.

"Tindakan itu termasuk tiga peniaga yang dikesan melakukan kesalahan sama dalam satu pemeriksaan ke atas pengusaha restoran di Lembah Kuala Kangsar pada Jumaat.

"Sebanyak 19 premis telah diperiksa termasuk trak saji dan hasilnya, dua kes dikesan di bawah ATS dan satu kes di bawah AKHAP," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, Op Menu yang dilaksanakan itu memberi tumpuan kepada restoran dengan memeriksa tanda harga yang dipamerkan.

"Pemeriksaan turut dilakukan ke atas restoran yang menggunakan alat timbang bagi menentukan harga setiap makanan yang dibeli terutama makanan yang berasaskan hasil laut.

"Menjadi satu kesalahan ke atas peniaga jika menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan," katanya.

Dottie Azlina berkata, pemeriksaan itu adalah langkah proaktif pihak KPDNHEP dalam mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan ke atas pengusaha kedai makan dan restoran.

Artikel Berkaitan:

"Ia bagi memastikan mereka mengamalkan budaya perniagaan yang beretika, adil dan tidak mengelirukan atau memperdayakan pengguna.

"Pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana peniaga yang melanggar undang-undang kerana amaran dan peringatan telah diberikan sebelum ini untuk tidak mengaut keuntungan yang tidak munasabah," katanya.

Jelasnya, syarikat yang dikesan melakukan kesalahan mencatut mengikut Seksyen 14(1) AKHAP 2011 boleh didenda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!