Tutup MAS: Kerajaan timbang semua kemungkinan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan terbuka untuk mendepani sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi bagi menangani kerugian berterusan yang ditanggung syarikat penerbangan, Malaysia Airlines Bhd (MAS).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan memandang serius saranan penganalisis penerbangan supaya Malaysia Airlines Bhd (MAS) ditutup atau dijual kerana gagal memenuhi sasaran keuntungan.

Katanya, kerajaan perlu membuat keputusan berdasarkan beberapa pilihan sama ada syarikat penerbangan negara tersebut akan ditutup atau jual atau membuat pembiayaan semula.

“Untuk menutup syarikat penerbangan nasional, ia satu hal serius. Kamu ingat tak, dulu pun ada kajian tentang ini, sama ada kita patut tutup, jual atau buat penstrukturan semula kewangan (refinance).

“Kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan semua kemungkinan ini. Kita perlu putuskan,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung satu laporan media baru-baru ini yang melaporkan pandangan penganalisis penerbangan, bahawa MAS patut ditutup kerana mengalami kerugian sejak diswastakan pada tahun 2014.

Isu itu dijelaskan lebih lanjut oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang memberitahu satu mesyuarat lembaga pengarah telah diadakan melibatkan pengurusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan MAS yang turut dihadiri oleh Dr Mahathir.

“Tun Mahathir telah memberikan pandangannya tentang bagaimana kita patut menguruskan situasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa mereka melihat perkara ini dengan serius dan akan menemui jalan penyelesaian,” katanya.

Mohamed Azmin menambah, ada langkah telah diambil bagi menjana keuntungan seperti mendapatkan perkhidmatan carter untuk urusan umrah dan haji.

“Salah satunya, mereka baru mendapat carter perkhidmatan baharu dari Kuala Lumpur ke Madinah di bawah Projek Salam untuk membawa umat Islam dari Malaysia dan dari kawasan rantau ini untuk mengerjakan haji dan umrah.

“Harapnya juga, kita dapat meneroka pasaran baharu dari Indonesia dan Thailand,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, MAS mempunyai enam pesawat A380 yang tersadai di lapangan sejak beberapa tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!