Masih berlaku pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh: MB
IPOH - Pergerakan tanah dikesan di kawasan tanah runtuh di Laluan FT 185, KM27.1 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Simpang Pulai yang mengorbankan dua nyawa pada Khamis.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Unit Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung situasi kejadian tanah runtuh tersebut.
Menurutnya, sehubungan itu, jalan tersebut kekal ditutup buat masa ini untuk dilalui kenderaan selain pemantauan terus dilakukan oleh JKR.
"Tindakan seterusnya (kejadian tanah runtuh) akan dilakukan oleh Unit Kejuruteraan JKR di ibu pejabat dan sudah tentu jalan yang berlaku tanah runtuh ini ditutup. Mereka yang ingin ke Cameron Highlands perlu ikut Tapah.
"Kita harap pihak JKR akan sentiasa memantau malahan di jalan ke Cameron Highlands, JKR memang ada satu alat yang boleh mengesan pergerakan tanah. Jadi kita harap mereka akan sentiasa 'alert' dengan kemungkinan ada berlaku pergerakan tanah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Dewan Belia Yang Ketiga, Perak Darul Ridzuan di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Speaker Dewan Undanga Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
ARTIKEL BERKAITAN: Kenderaan tertimbus runtuhan tanah di jalan Cameron Highlands
Tanah runtuh: Mayat pertama ditemui
Dalam perkembangan sama, Saarani menasihati pengguna jalan raya di negeri ini sentiasa berwaspada ketika melalui jalan-jalan yang bercerun yang diketahui mempunyai risiko berlakunya tanah runtuh sama ada sepanjang laluan ke Cameron Highlands atau lokasi lain.
Pada Khamis lalu, dua lelaki terkorban apabila kenderaan yang dipandu masing-masing tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Laluan FT 185, KM27.1 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Simpang Pulai.
Mereka yang terkorban adalah pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.
Mayat Chee Heng berjaya dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat dari lokasi runtuhan pada jam 9.55 malam, sementara Muhammad Hafiz jam 10.50 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!