Tiga sekeluarga cedera, Perodua Bezza bertembung BMW
TAPAH - Tiga sekeluarga cedera apabila kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta jenis BMW di Kilometer 82, Jalan Ipoh -Kuala Lumpur di Bidor di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, wanita berusia 24 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Bezza mengalami luka ringan, manakala adik perempuannya berusia 14 tahun luka di muka dan tangan.
Bagaimanapun, ibu saudara mereka berusia 57 tahun yang cedera parah dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kereta mewah yang dipandu lelaki berusia 63 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Manjung.
"Kereta yang dinaiki tiga mangsa itu dipandu dari arah bertentangan menuju ke Rawang bagi menziarahi saudara mereka.
"Apabila tiba di tempat kejadian, kereta mereka telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan BMW tersebut," katanya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang terselamat telah menerima rawatan awal dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!