Kerajaan perjelas isu kenaikan barang tidak lama lagi
SEPANG - Kerajaan akan membuat satu pengumuman berkaitan isu kenaikan harga barangan keperluan sejak kebelakangan ini dalam masa terdekat.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, ia berikutan desakan orang ramai yang terkesan dengan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan seperti sayur dan ayam mentah.
Beliau berkata, kerajaan akan mengumumkan beberapa pendekatan tertentu yang akan digunakan menerusi pengumuman tersebut.
"Seperti yang dimaklumkan oleh kerajaan, kenaikan harga barangan keperluan seperti sayur akan ditangani dalam masa terdekat.
"Terdapat beberapa faktor menjurus kepada kenaikan harga barangan seperti yang pernah diumumkan sebelum ini. Jadi, sebagai kerajaan yang prihatin terhadap isu tersebut, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran 5C di Taman Putra Perdana di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Muhamad Zikril Azan turut mengulas mengenai isu kekurangan minyak peket yang didakwa berlaku di Selangor baru-baru ini.
Ujar beliau, hasil tinjauan pegawai-pegawai penguat kuasa dan pemantau harga pada setiap hari mendapati kekurangan minyak peket di Selangor hanya berlaku di lokasi-lokasi tertentu.
Bagaimanapun, jelasnya, jualan minyak peket masih berada dalam keadaan terkawal pada masa ini.
"Kita telah mengeluarkan arahan kepada semua pengilang, pembekal dan pemborong minyak masak dan minyak peket supaya segerakan proses agihan kepada peruncit.
"Jika peruncit mengalami kekurangan minyak peket, sila hubungi pembekal untuk mendapatkan bekalan barangan tersebut segera.
"Pengguna yang mengalami kesukaran untuk memperoleh barangan itu juga disarankan membuat aduan kepada KPDNHEP supaya kita dapat menjalankan siasatan segera," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!