Star Cruises kembali operasi 22 Disember
GEORGETOWN - Kapal persiaran Star Cruises milik syarikat kapal pelayaran antarabangsa pertama dunia, Genting Cruise Lines akan mula beroperasi pada 22 Disember ini dengan menawarkan siri jadual perjalanan menarik ke Langkawi dan Selat Melaka.
Timbalan Presiden Bahagian Jualan Genting Cruise Lines, Cynthia Lee berkata, kapal pelayaran itu menyediakan lima perjalanan setiap minggu dengan siri jadual perjalanan pergi dan balik dari Pulau Pinang termasuk dua malam ke Langkawi dan satu malam ke Selat Melaka.
Menurutnya, Star Cruises itu juga menyediakan lebih banyak pilihan percutian ketika cuti sekolah, cuti akhir tahun dan cuti perayaan Krismas.
"Kita akan memulakan operasi dengan had penumpang sebanyak 50 peratus iaitu 850 orang tidak termasuk 400 kru kapal dengan mengamalkan langkah kawalan pencegahan yang dipertingkatkan.
"Setiap individu termasuk kru kapal perlu mendapat vaksinasi penuh bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin. Penumpang yang ingin memulakan perjalanan perlu menjalani Antigen Rapid Test (ART) di terminal pada hari berlepas," katanya pada sidang akhbar di Terminal Swettenham Pier di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya berharap melalui kerjasama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dapat menjelajah lebih banyak destinasi dalam negara dan destinasi wilayah seperti Phuket pada masa depan.
"Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa pelabuhan yang lain bagi mewujudkan 'Harmonize Cruising Standards' dalam wilayah tertentu dengan harapan adanya pembukaan kembali aktiviti 'cruise' antarabangsa secara berperingkat yang akan menarik pelancong terutama daripada kapal kami di Singapura," katanya.
Cynthia berkata, pelancong yang berminat boleh mula membuat tempahan bermula pertengahan bulan ini untuk semua rakyat Malaysia dan pendatang asing dengan pas lawatan jangka masa panjang yang sah.
"Pelancong antarabangsa juga dibenarkan namun perlu melengkapkan tempoh masa kuarantin dan perintah pengawasan serta pemerhatian oleh kerajaan. Pakej bermula pada harga RM199 (seorang) untuk satu malam ke Selat Melaka dan RM399 (seorang) untuk tiga hari dua malam ke Langkawi.
"Kami amat menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan, kebersihan dan protokol operasi bagi memastikan keselamatan penumpang di atas kapal," katanya.
Sementara itu, Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng berkata, Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) menerima 1.5 juta penumpang kapal pelayaran membabitkan kira-kira 20 syarikat sepanjang 2019.
Bgaimanapun katanya, operasi SPCT dihentikan pada Mac tahun lalu kerana penularan wabak Covid-19.
"Kita percaya dengan pembukaan semula kapal pelayaran ini akan merancakkan sektor pelancongan dan sektor lain yang menyokong industri kapal pelayaran.
"Operasi kapal pelayaran domestik ini akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!