Jualan #Keluarga Malaysia beri senyuman kepada penduduk Rantau Panjang

Program Jualan #Keluarga Malaysia di Lubok Jong, Rantau Panjang pada Sabtu berjalan dengan mematuhi SOP dan semua yang datang dapat membeli barangan yang dikehendaki.
Program Jualan #Keluarga Malaysia di Lubok Jong, Rantau Panjang pada Sabtu berjalan dengan mematuhi SOP dan semua yang datang dapat membeli barangan yang dikehendaki.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Tawaran harga murah sehingga potongan 15 hingga 20 peratus memberikan senyuman kepada lebih 1,000 penduduk di Parlimen Rantau Panjang sempena Program Jualan #Keluarga Malaysia yang diadakan di Lubok Jong, di sini pada Sabtu.

Seorang penoreh getah, Mat Isa Muhammad, 59, berkata, dia menggunakan peluang tersebut untuk membeli beberapa ekor ayam, telur serta barangan kering lain untuk dijadikan stok sepanjang musim tengkujuh ini.

"Harga ayam paling murah pernah saya dapat hari ini iaitu RM7.90 sekilogram berbanding sebelum ini mencecah RM11 sekilogram.

"Terima kasih kerajaan kerana menganjurkan program seumpama ini dan harap ia dapat diadakan secara berterusan di masa akan datang," katanya.

Menurut Mat Isa, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban orang sepertinya yang tidak dapat menoreh kerana musim tengkujuh sedang melanda.

Sementara itu, kakitangan swasta, Nik Aqilah Nik Mustapa, 38, berkata, banyak penjimatan yang dibuat dengan adanya program ini.

"Hari ini saya dapat beli ikan, ayam, telur, minyak masak, tepung dan bermacam-macam lagi dengan harga lebih murah.

"Gembira sangat, sebab duit yang lebih dapat digunakan untuk urusan lain kerana sekarang seperti yang kita tahu semua barang naik harga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, sepatutnya program tersebut dilanjutkan sehingga malam kerana waktu dari jam 8 hingga 1 petang sangat singkat.

Bagi kakitangan kerajaan, Zamri Yusoff, 42, berkata, program tersebut memberi peluang kepada golongan B40 dan M40 untuk mendapatkan barangan harian dengan harga yang lebih murah.

"Ramai yang terkesan dengan Covid-19 dan peningkatan harga barangan di pasaran. Sebagai pengguna kami perlu bijak berbelanja, dan peluang ini harus digunakan sebaiknya," katanya.

Menurutnya, dia dan isteri datang seawal jam 8 pagi untuk membeli-belah bimbang orang ramai serta barang habis.

Katanya, bagaimanapun program tersebut berjalan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan semua yang datang dapat membeli barangan yang dikehendaki.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!