GPS sasar rampas semula kerusi Ba'kelalan
LAWAS - Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan harapan tinggi untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 ini.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerusi tersebut menjadi tumpuan GPS dalam usahanya memastikan gabungan parti itu mencapai kemenangan besar pada PRN kali ini.
Menurutnya, hasrat merampas kerusi Ba’kelalan yang kini disandang oleh bekas Menteri Kerja Raya Baru Bian sejak dua penggal lepas penting bagi memastikan agenda GPS bagi pembangunan luar bandar negeri Sarawak dapat diteruskan.
“Kita harus berdiri teguh dan pastikan keputusan kita (GPS) menang besar... pastikan juga kita ambil balik kerusi Ba’Kelalan. Ini bukan soal peribadi, tapi soal kebajikan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak milik Tanah dan Cek Pampasan Pengambilan Balik Tanah di kawasan Lawas pada Sabtu.
Semalam, GPS mengumumkan senarai calonnya bagi kesemua 82 kerusi DUN Sarawak.
Di Ba’kelalan, GPS mempertaruhkan seorang peguam, Sam Laya daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) sebagai calonnya dan beliau dijangka akan ditentang oleh PKR yang mengetengahkan Martin Samuel Labo sebagai calonnya.
Media sebelum ini melaporkan, Baru yang merupakan Anggota Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan mempertahankan kerusi Ba’ kelalan yang dimenanginya sejak 2011.
Pada PRN 2016, Baru yang bertanding di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menewaskan calon Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang kini dijenamakan semula sebagai Parti Demokratik Progresif (PDP) dengan majoriti tipis 486 undi.
Pada PRN Sarawak kali ini, kerusi Ba’kelalan dijangka menyaksikan sekurang-kurangnya pertembungan tiga penjuru antara GPS, PKR dan PSB.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Disember sebagai hari penamaan calon manakala 14 Disember hari pengundian awal dan 18 Disember hari mengundi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!