Cabaran Malaysia di Jelajah Dunia Akhir BWF tamat
TIADA wakil Malaysia beraksi dalam final Jelajah Dunia Akhir BWF esok, selepas tiga wakil negara terkandas di saingan separuh akhir berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, pada Sabtu.
Keputusan paling mengecewakan apabila pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yang menghuni ranking kelapan dunia, dikejutkan oleh pemain di ranking ke-23 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn 21-18, 21-18.
Kunvalut yang juga juara dunia remaja sebanyak tiga kali, berdepan kekalahan 21-15, 21-16 kepada Zii Jia dalam perlawanan Kumpulan B pada Rabu, memastikan pembalasan yang sempurna dalam perjalanannya menuju ke perlawanan akhir pertamanya musim ini.
Juara All England yang nyata kecewa dan tidak berpuas hati dengan kekalahan itu berkata, Kunvalut bermain dengan lebih baik berbanding sebelum ini.
“Hari ini, dia lebih tenang berbanding perlawanan sebelum ini dan lebih bersedia. Kunvalut dapat membaca permainan saya dan dia lebih terkawal.
“Walaupun saya kalah di separuh akhir, ini adalah keputusan yang lebih baik berbanding Jelajah Dunia Akhir 2020 pada Januari tahun ini (saya tersingkir di peringkat kumpulan), tapi kali ini saya berjaya ke separuh akhir,” katanya dalam temu bual dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan pada Sabtu.
Zii Jia berkata, beliau akan berehat, segarkan badan dan bersedia untuk Kejohanan Dunia yang dijadual pada 12 hingga 19 Disember di Huelva, Sepanyol.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki pula, pasangan ke-12 dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa akur dengan kehebatan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 21-15.
Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sebelum itu menamatkan saingan selepas tewas kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-8, 21-18. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!